Zahid tak tetapkan tempoh masa kembali bertugas
Presiden Umno yang kini sedang bercuti, Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata beliau tidak menetapkan tempoh masa sebelum kembali meneruskan tugas rasminya.
Bercakap di hadapan penyokong setia BN di sesi townhall anjuran NGO Sedar, Zahid berkata keputusannya untuk kembali aktif berpolitik tidak akan dibuat hanya disebabkan desakan akar umbi parti itu.
"Kalau saya menamatkan cuti adalah dengan tujuan untuk mengukuhkan parti, saya akan tamatkan. Kalau saya bercuti parti akan terus kukuh, saya akan teruskan bercuti.
"Ertinya saya tidak ada timeline. Yang penting bukan soal desakan ahli akar umbi tetapi jika benar-benar saya diperlukan, perkhidmatan saya akan melata bila-bila masa saja," katanya.
Zahid pada Disember tahun lalu mengumumkan beliau bercuti dalam usaha menyelamatkan Umno berikutan krisis akibat tindakan wakil rakyatnya yang meninggalkan parti itu.
Ditanya apa yang boleh dilakukan untuk menyatukan semua pemimpin Umno bahagian, Zahid menegaskan beliau melakukan yang terbaik seperti dilakukan bekas presiden Umno Najib Razak dan pemangku presiden kini, Mohamad Hasan.
Najib tak puas hati perpaduan Umno
Sementara itu, Najib memberi amaran kepada ahli-ahli Umno agar tidak berpuak-puak yang akhirnya boleh melemahkan parti
"Saya tak puas hati dengan solidariti dalam Umno. Mahupun nampak baik tapi perlu tingkatkan semangat perpaduan. Solidariti dalam Umno mesti dipertingkatkan. Mesti ada satu Umno sahaja," katanya.
Anggota Parlimen Pekan itu juga mendakwa perpaduan Umno kini menghalang lebih banyak "katak" meninggalkan parti itu dan mereka yang berbuat demikian menyesali keputusan mereka apabila hilang sokongan.
"Ini pelajaran pada katak-katak yang dah lompat ni, sekarang ni banyak dah kenyit-kenyit mata kat kita. Kalau kita tinggalkan Umno orang Umno takkan maafkan mereka dalam apa jua keadaan utamakan kesetiaan kepada parti kita.
"Kalau kita setia kepada Umno kita ada harapan, jangan ada kabilah-kabilah. Letakkan kepentingan Umno sebelum kepentingan lain," katanya.
Najib berkata BN juga harus memastikan tidak ada perselisihan dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 bagi mencerahkan peluang untuk parti itu mendapatkan semula kuasa.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Post a Comment