Header

Pakar forensik kesal dimalukan di inkues Adib


SHAH ALAM: Seorang saksi doktor pakar forensik menyatakan kekesalannya kerana “dimalukan” di mahkamah ketika memberi keterangan pada inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, niatnya hanya ingin membantu mahkamah membuat pengiraan formula daya berhubung kecederaan dialami Adib.

Saksi ke-24 yang dipanggil semula memberi keterangan itu juga beberapa kali menegaskan beliau bukan pakar fizik dan meminta mahkamah merujuk kepada pakar bidang untuk mengesahkan pengiraaan formula daya itu.

“Saya sentiasa tegaskan saya bukan pakar fizik…mungkin saya tersalah faham. Apabila diminta sesuatu oleh peguam, saya anggap saya perlu jelaskan kepada koroner.
 
“Ini bukan perbicaraan dan saya juga tidak sepatutnya dimalukan di mahkamah tentang pengiraan ini,” katanya pada prosiding ke-36 inkues di Mahkamah Koroner hari ini.

Terdahulu, saksi itu bertikam lidah dengan peguam Syazlin Mansor yang mewakili bomba dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, apabila peguam tersebut mendakwa keterangannya berhubung pengiraan formula daya mengelirukan mahkamah.

Syazlin: “Pengiraan daya yang doktor kemukakan di mahkamah berkenaan graviti salah, biar pakar yang bercakap tentang perkara ini. Tidak perlulah doktor nak tambah kelirukan mahkamah.”

Dr Ahmad Hafizam: “Saya tidak kelirukan mahkamah, semalam saya anggap saya disuruh buat pengiraan yang betul, sebab itu saya buat pengiraan baru. Saya juga tidak sepatutnya dimalukan di mahkamah tentang pengiraan ini.”

Syazlin: “Sebelum ini doktor cakap pengiraan Prof Dr Shahrom Abd Wahid (perunding kanan patologi forensik) salah, tetapi bila doktor tunjukkan pengiraan baru mengenai tarikan graviti saya lihat tidak betul, jadi saya tunjukkan yang doktor salah, bukan niat nak malukan cuma cakap doktor nak kelirukan mahkamah.”

Menjawab soalan lain Syazlin, Ahmad berkata lebam pada badan Muhammad Adib bukan disebabkan kesan cengkaman akibat ditarik tetapi berkemungkinan berlaku ketika mangsa dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dalam kes ini, mangsa meninggal dunia selepas 21 hari menerima rawatan dan dalam jangka masa rawatan ada pergerakan tertentu seperti mangsa digerakkan ke kiri, kanan sewaktu dia tidak sedarkan diri. Berdasarkan bedah siasat, kesan lebam itu tidak padan akibat ditarik,” katanya.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan teori Adib ditarik pada siku kiri atau dari bahagian depan baju mangsa, berdasarkan beberapa faktor seperti situasi van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang sedang bergerak, kawasan kejadian berbahaya, mangsa seorang anggota bomba yang “fit” dan pemeriksaan klinikal serta dapatan bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa.

Adib anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di IJN.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung pada 27 dan 28 Mei ini.

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.