Header

Pengundian PRK Sandakan bermula pagi ini


SANDAKAN: Pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula sebaik sahaja 19 pusat mengundi melibatkan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi ini.

Proses mengundi yang berlangsung selama 9 jam setengah itu melibatkan seramai 39,684 pengundi biasa yang layak mengundi sebelum proses pengundian ditutup pada 5 petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menempatkan seramai 798 petugas di semua pusat pengundian dan menyasarkan 70% pengundi di kawasan Parlimen itu akan keluar mengundi.

Pusat penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini.
 
Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi dan ribut petir di 1-2 tempat pada sebelah petang di Sandakan hari ini.

Pada 7 Mei lepas, 75% daripada 270 pengundi awal terdiri daripada pegawai dan anggota polis selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pemilih berdaftar di Parlimen Sandakan terdiri daripada 51% pengundi Cina dan 45% pengundi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sebanyak 49.48% daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita merangkumi 50.52%.

PRK Parlimen Sandakan merupakan PRK ke-8 selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lepas, dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan 5 penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Linda Tsen Thau Lin dan 3 calon Bebas iaitu bekas pengasas Amanah Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir pusat khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.