Header

Polis ada petunjuk baru keberadaan Jho Low, kata KPN


PASIR MAS: Polis mempunyai beberapa petunjuk baru mengenai keberadaan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Hamid berkata polis akan cuba membawa pulang ahli perniagaan kontroversi yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ke Malaysia dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan petunjuk yang dikumpul polis ketika ini.

“Mana dia nak menyorok…tak akan selamat. Kita akan bawa balik Jho Low tak lama lagi kerana semua orang tertunggu-tunggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan hari ini.

Ditanya adakah Jho Low berada di China, beliau berkata: “saya tak cakap.”

Katanya tindakan yang dilakukan Jho Low menyebabkan negara berhutang dengan kadar yang tinggi dan ahli perniagaan itu sepatutnya menerima balasan terhadap perbuatannya.

Beliau turut menyifatkan tindakan ahli perniagaan itu yang sering membuat kenyataan melalui peguamnya dari Macau dan Hong Kong sebagai pengecut.

“Rompakan yang dibuat Jho Low menyebabkan negara berhutang. Bila dia dibawa ke mahkamah Insya-Allah akan keluar segala penipuan yang dia telah lakukan,” katanya.

Bawa isu perumahan polis ke KDN

Dalam perkembangan lain, Hamid berkata beliau akan membawa maklum balas yang diterima sebelum ini ke mesyuarat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang beberapa siri lawatan mengejut yang diadakan sebelum ini.

Beliau berkata masalah berbangkit di peringkat bawah adalah tentang tempat tinggal terutama di Lembah Klang kerana kos sewa rumah adalah tinggi namun gaji dan elaun yang diterima adalah rendah sekaligus memberi kesan kepada pegawai dan anggota.

“Rumah-rumah yang mampu disewa pula terletak di luar kawasan formasi menyebabkan mereka semakin terbeban dengan kos. Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat KDN dan memohon kerajaan supaya memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Katanya polis faham dengan keadaan kewangan negara yang tidak begitu memberangsangkan ketika ini dan sanggup menunggu sehingga ekonomi negara kembali pulih agar kerajaan dapat membantu agensi keselamatan itu.

Beliau turut memuji kejayaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan PGA9 dalam melakukan operasi di kawasan sempadan walaupun mereka terdedah dengan bahaya pada sepanjang masa.

“Saya ambil kesempatan untuk ingatkan pegawai dan anggota untuk meningkatkan tahap intergriti dan sentiasa berhati-hati kerana kawasan Op Wawasan ini sensitif, ada penyeludupan senjata api. Kita tak boleh menolak perkara buruk daripada berlaku,” katanya.

Hamid juga berkata beliau mengarahkan ketua polis Selangor dan Kuala Lumpur untuk memantau kawasan yang menjadi tumpuan warga Afrika terutama dari Nigeria tinggal dan sering berkumpul.

Beliau berkata tindakan itu diambil bukan bermotifkan “racial profiling” namun atas laporan yang dikemukakan oleh orang awam sebelum ini.

“Saya ada terbaca satu rintihan warga pangsapuri Desa Aman Puri di Kepong yang mengeluh mengenai warga asing dari Afrika yang membawa budaya kurang sopan seperti mabuk dan menari dalam keadaan separuh bogel di kawasan perumahan mereka tinggal.

“Saya telah arahkan supaya ketua polis Selangor dan Kuala Lumpur untuk menggandakan usaha, tinjauan dan serbuan di tempat tumpuan warga Afrika ini,” katanya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.