Header

Kerajaan Pakatan masih gagal, kata Zunar


WALAU sudah setahun mentadbir Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan masih gagal melaksana reformasi institusi dan mengemuka agenda baharu, kata kartunis Zunar.

Ia juga menunjukkan kerajaan tiada iltizam politik kerana masih tidak berjaya memansuhkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.

“Dari segi agenda saya rasa kerajaan sekarang gagal selepas setahun. Saya bagi contoh dahulu kerajaan gunakan Akta Hasutan untuk menangkap saya di samping itu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan juga dikenakan terhadap saya.

“Sehingga kini akta ini masih ada dan belum dihapuskan. Sepatutnya akta ini telah dihapuskan sejak hari pertama lagi tanpa perlu menunggu tempoh yang lama,” katanya.

Zunar beberapa kali ditahan dan karyanya juga dirampas semasa pentadbiran Barisan Nasional kerana kartunnya banyak mengkritik perdana menteri waktu itu Najib Razak serta isteri, Rosmah Mansor.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan pada Januari lalu membatalkan pengharaman buku kartunnya, Sapuman: Man of Steal’.

Beliau juga berjaya mendapat perintah mahkamah untuk membatalkan pengharaman dua lagi bukunya bertajuk 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun.

Mengulas lanjut, Zuna mengakui ruang kebebasan berkarya kini lebih luas apabila kerajaan baharu mengambil alih namun aktivis itu berkata beliau tidak melihat dasar yang jelas dari PH.

“Saya bagi contoh, biarpun betul kerajaan kata mereka masih baharu dan sebagainya, tetapi kita hendak lihat perancangan mereka dalam tempoh 10 tahun lagi bagaimana.

“Seperti isu tol kita faham ia tidak boleh diturunkan tetapi dalam tempoh 10 tahun laggi adakah ia akan diturunkan?” katanya.

Janji menghapuskan tol itu merupakan antara modal utama pembangkang pada waktu ini dalam kempen untuk meruntuhkan kredibiliti PH.

“Bagi saya kerajaan sekarang kurang iltizam politik dan kurang wawasan. Sama juga dengan situasi hendak menghapuskan akta hasutan.

“Memang diakui ada banyak halangan tetapi kena ada iltizam politik untuk lakukannya,” katanya.
Menteri hal ehwal undang-undang Liew Vui Keong pada bulan lalu memberi jaminan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan pada tahun ini.

Menurutnya, mesyuarakat Kabinet memutuskan untuk memansuhkan akta tersebut dan pelaksanaannya dalam kajian.

Jelasnya, walau dengan pemansuhkan itu, kerajaan tidak mahu membenarkan mana-mana pihak membuat kenyattaan mencemarkan nama raja dan pemimpin.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.