Header

Takkan seluar dalam pun nak jual, Ku Li bantah keputusan jual aset di HK


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membantah keputusan Putrajaya menjual menara 28 tingkat milik kerajaan di Hong Kong.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, kerajaan membeli menara itu kira-kira HK$200 juta (RM103.8 juta) pada 1980-an, ketika beliau menjadi menteri kewangan untuk menempatkan agensi kerajaan di bangunan sama.

“Kita beli kerana ada keperluan untuk agensi kerajaan bertindak di sana. Ketika itu, agensi-agensi ini duduk berselerak di merata tempat. Jadi, atas nasihat Kementerian Luar, eloklah mereka duduk di satu bangunan.

“Bagi saya, eloklah kita simpan bangunan itu kerana hendak beli pula harganya sudah melambung naik. Dahulu, kita beli hanya HK$200 juta, kalau saya tidak silap.

“Sekarang ini sudah berbilion nilainya. Hendak beli lain dan ganti, mana ada duit berbilion ringgit?” katanya di lobi Parlimen hari ini.



Bangunan Malaysia setinggi 28 tingkat ini menempatkan Konsulat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia dan Matrade. (Gambar Facebook)

Selain Konsulat Malaysia, bangunan itu turut menempatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Tengku Razaleigh menjadi menteri kewangan dari 1976 hingga 1984, sebelum dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari 1984 hingga 1987.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan kerajaan terdahulu menjual menara 28 tingkat milik kerajaan di Hong Kong menerusi rundingan terus pada harga RM1.1 bilion akan menyebabkan Putrajaya kerugian RM500 juta.

Ia susulan laporan akhbar Ming Pao yang mendedahkan Kumpulan Evergrande China sedang berbincang dengan Putrajaya untuk membeli bangunan menempatkan pejabat Konsulat Malaysia di Jalan Gloucester, Wanchai.

Tengku Razaleigh berkata, kerajaan sepatutnya mencari alternatif lain, bukannya menjual aset negara bagi melangsaikan hutang yang banyak.

“Takkanlah hendak jual sampai ke seluar dalam, kalaupun tidak ada duit…apabila sudah menjadi kerajaan, mesti ada cara untuk cari punca lain, takkanlah hendak jual segala-galanya?”



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.