Header

Adun BN minta PAS buka semula pawagam di Kelantan


KOTA BHARU: Seorang Adun Kelantan meminta kerajaan negeri pimpinan PAS membenarkan panggung wayang dibuka dan beroperasi semula di negeri ini selepas hampir 30 tahun diarah tutup.

Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berkata kerajaan negeri boleh membuka panggung wayang berkonsepkan patuh syariah yang dikawal sepenuhnya.

“Ketika ini rakyat Kelantan yang mahu menonton filem perlu ke Terengganu, negeri paling dekat yang mempunyai panggung wayang.

“Kalau Terengganu membenarkan perkara itu, saya ingin mencadangkan agar panggung wayang di negeri ini dibuka semula,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Kali terakhir Kelantan mempunyai panggung wayang ialah sebelum PAS mengambil alih negeri ini daripada BN pada 1990 iaitu Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama di sini.

Mohd Syahbuddin berkata, ada ulama yang berpandangan tidak salah untuk menonton filem asalkan filem yang ditonton itu memberikan kebaikan untuk penontonnya.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan negeri supaya menjelaskan berapa banyak kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa bandar utama di negeri ini.

“Kalau dapat jelaskan sudah berapa banyak CCTV ini dipasang terutamanya di lokasi panas yang sering berlakunya jenayah,” katanya.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.