Header

Camry: Bukan tipu tapi maklumat tidak tepat


IPOH 29 Ogos - Kerajaan negeri tidak berbohong apabila menjelaskan dalam sidang DUN Perak bulan lalu bahawa pembelian 16 buah Toyota Camry kereta rasmi kerajaan negeri mendapat pelepasan cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, maklumat yang diterima ketika menjawab soalan dalam sidang DUN pada masa itu tidak tepat.

Menurutnya, namun perkara utama yang mahu diperjelaskan oleh kerajaan sebenarnya ialah pembelian kereta tersebut berbaloi dan menjimatkan duit kerajaan.

"Menipu ini contohnya kalau kita ada maklumat Perdana Menteri mencuri tetapi kita tidak memaklumkan kepada DUN dan mempertahankan Perdana Menteri dalam Parlimen, itu menipu.

"Tetapi kalau kita dapat maklumat dan menyebut seperti maklumat yang kita ada namun maklumat itu tak tepat, itu bukan menipu. Itu sekadar menyampaikan maklumat yang diberikan oleh pegawai," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Cabaran Lawn Bowls Piala Menteri Besar Perak di Arena Lawn Bowls Perak, di sini hari ini.

Ahmad Faizal mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad semalam bahawa kerajaan negeri menipu berhubung pengecualian cukai pembelian kereta rasmi kerajaan negeri.

Beliau berkata, perkara utama yang sepatutnya menjadi perhatian ialah penjimatan kerajaan melalui pembelian kereta tersebut memandangkan kos ditanggung sebelum ini agak tinggi.

"Pembelian kereta baharu ini mendapat jaminan selama 5 tahun, perbelanjaan kerajaan negeri lebih rendah dari segi penyelenggaraan kereta.

"Saya berpandangan keputusan pembelian ini amat tepat kerana menjimatkan perbelanjaan selain menambah harta negeri," katanya.

Pada sidang DUN bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Usahawan Perak, Asmuni Awi yang menjawab bagi pihak kerajaan memaklumkan harga kereta Toyota Camry yang berharga RM190,000 seunit itu mendapat dibeli pada harga RM109,00 seunit kerana mendapat pelepasan cukai.

Namun Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menjelaskan bahawa Perak tidak diberikan pengecualian cukai dalam pembelian kereta Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi itu. - UTUSAN ONLINE



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.