Header

RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dilulus di peringkat dasar


KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 untuk memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan 2019 sebanyak RM7,005,753,850 diluluskan di peringkat dasar dengan suara terbanyak di Dewan Rakyat hari ini.

Seramai 12 ahli Parlimen mengambil bahagian membahaskan RUU itu sebaik dibentang untuk bacaan kali ke-2 oleh Timbalan Menteri Kewangan 1 Abdul Rahim Bakri.

Abdul Rahim ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, belanjawan tambahan berkenaan merupakan belanjawan yang digunakan pada 2019 dan sepatutnya telah diluluskan, namun tidak dapat dilakukan pada tahun berkenaan dan terpaksa dibawa ke tahun ini.

“Bajet ini sesuatu yang perlu diluluskan, ia merupakan bajet yang telah dibelanja oleh kerajaan lalu dan saya ini sebenarnya membantu YB Bagan (bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng) untuk meluluskan bajet ini,” katanya.

RUU berkenaan akan dibentang di peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan esok.

Terdahulu, Abdul Rahim ketika membentangkan RUU berkata perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk pindahan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2019 ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM1.072 bilion dan RM778.6 juta untuk menampung perbelanjaan luar jangka 2019.

Sebanyak RM5.155 bilion pula adalah peruntukan tambahan langsung kepada kementerian dan jabatan yang diberi kebenaran untuk berbelanja melebihi daripada peruntukan bagi membiayai perkara yang komited pada 2019.

Kementerian yang terlibat dalam anggaran perbelanjaan tambahan ini ialah Kementerian Kewangan sebanyak RM3.628 bilion, Kementerian Kesihatan (RM1.179 bilion), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM635.9 juta), Kementerian Pendidikan (RM623.7 juta), Kementerian Pertahanan (RM362.9 juta), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM313.2 juta) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM77.1 juta).

Ia turut melibatkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM58.2 juta), Kementerian Industri Utama (RM40.3 juta), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM39.4 juta), Kementerian Kerja Raya (RM16.1 juta), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM15.6 juta) dan Kementerian Luar Negeri (RM13.9 juta).

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - FMT


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.