Header

Saranan keluar dari kerajaan itu suara akar umbi kata Kuli


Saranan supaya anggota kabinet Umno meninggalkan kerajaan adalah suara ahli akar umbi parti, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Jelasnya, sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno dia bertanggungjawab untuk menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, orang bawahan melihat menteri yang dilantik daripada Umno tidak diberi muka dalam kerajaan PN.

"Apa guna duduk situ. Itu pandangan orang bawah yang saya sampaikan dan ada orang tiada jawatan dalam parti pun ada kedudukan tinggi.

"Orang kita yang ada pegang jawatan sebagai Naib Presiden dalam parti pun tiada ada kedudukan (dalam kabinet), seolah-olah begitulah," katanya yang dipetik Berita Harian.

Tengku Razaleigh berkata demikian selepas bertemu ketua dan wakil peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar bagi membincangkan tuntutan ladang sawit selepas tanam semula di Bukit Chekati, Gua Musang.

Pada 28 Ogso lalu, Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li menggesa pemimpin Umno yang menganggotai kabinet Perikatan Nasional (PN) supaya menarik diri daripada kerajaan.

Ia susulan tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)".

Sementara itu, Ku Li berkata dia akan terus memberi pandangan dan nasihat kepada ahli parti selagi masih memegang jawatan itu.

Katanya, dia akan berhenti untuk memberi nasihat sekiranya tidak diperlukan lagi dan menegaskan nasihatnya untuk kebaikan bersama bagi menarik sokongan ahli bawahan.

"Saya kena jawab sebab dilantik sebagai penasihat, kecuali kalau tak nak bagi saya jadi penasihat lagi, saya boleh berhenti nasihatlah.

"Saya tak kritik, saya ulang saya tak kritik sesiapa. Saya tak campur urusan parti lain, (sebaliknya) saya hanya bagi pandangan ahli Umno yang menemui saya," katanya lagi.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.