Header

7 Penduduk Palestin Ditembak Mati


BANDAR GAZA. Wilayah Palestin – Tujuh penduduk Palestin, termasuk dua remaja lelaki berusia 12 dan 14 tahun terbunuh ditembak tentera Israel di sempadan Gaza kelmarin, kata Kementerian Kesihatan.

Kematian itu menjadi hari pa­ling berdarah dalam protes sempadan yang bermula sejak 14 Mei lalu, apabila lebih 60 penduduk Palestin maut dalam keganasan yang mengiringi perasmian kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmuqaddis, satu tindakan yang mencetuskan kemarahan rakyat Palestin.

Nasser Mosabih, 12, Mohammed al-Houm, 14, dan Iyad Al-Shaar, 18, ditembak mati kelmarin dalam tunjuk perasaan di sepanjang sempadan Israel, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra kepada agensi berita AFP.


Empat lagi lelaki berusia 20-an juga terbunuh dalam tunjuk perasaan meluas di sepanjang sempadan, kata jurucakap itu sambil menambah bahawa 210 orang telah dimasukkan ke hospital, termasuk 90 orang dengan luka terkena tembakan.

Tentera Israel dalam satu ke­nya­taan berkata, kira-kira 20,000 ‘perusuh’ telah berkumpul di beberapa lokasi di sepanjang sempadan dan mereka telah melempar bom tangan dan alat letupan di beberapa lokasi yang berbeza.

Pihak tentera Israel berkata, anggotanya melepaskan tembakan ‘mengikut prosedur operasi standard’ dan pesawat Israel juga membedil dua pos kawalan milik Hamas di Gaza.

Penduduk Palestin melakukan protes sekurang-kurangnya sekali seminggu di sepanjang sempadan Gaza sejak 30 Mac lalu dalam apa yang mereka sebut sebagai ‘Perarakan Pulang Besar-Besaran’.

Protes kelmarin berlaku dalam skala lebih besar berban­ding dalam beberapa minggu kebe­lakangan ini.

Sekurang-kurangnya 193 orang rakyat Palestin telah terbunuh akibat tembakan Israel sejak Mac lalu, dengan majoriti maut semasa protes di sempadan, sementara seorang askar Israel telah ditembak mati oleh penembak tepat Palestin. – AFP/KOSMO ONLINE



NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.