Header

Ahli UMNO tidak boleh terlibat dalam PRK Port Dickson


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan jentera UMNO Bahagian Telok Kemang tidak boleh mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson walaupun ada yang menyokong calon tertentu.

"Sebagai jentera di bahagian, mereka tidak boleh mengambil bahagian kerana kita memboikot PRK tersebut atas asas kita tidak suka cara PRK itu diadakan. Itu sebab kita kena betul-betul faham perkataan boikot," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan calon Bebas PRK berkenaan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang mendakwa pemimpin UMNO Bahagian Teluk Kemang bersetuju beliau bertanding di Port Dickson.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pas dan lima calon Bebas termasuk Mohd. Isa dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen itu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Ditanya tindakan yang akan diambil sekiranya ahli UMNO turun berkempen pada PRK itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, ia akan diputuskan kepimpinan parti.

Bagaimanapun, Mohamad Hasan berkata, ahli UMNO bahagian itu bebas mengundi siapa sahaja pilihan mereka dalam PRK pada 13 Oktober depan. - Bernama


NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.