Header

‘Cerita lama’, Saiful Bukhari janji tidak ungkit isu liwat Anwar di PD


PORT DICKSON, 29 Sept — Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak akan mengungkit kes liwatnya untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen pilihan raya kecil Port Dickson.

Calon Bebas itu juga berasa lega dapat berjabat tangan dua kali dengan bekas majikannya itu ketika mereka berada di pusat penamaan calon di sini pagi tadi.

“Naratif saya bukan mengenai kes lama. Saya tidak mahu bercakap mengenai masa silam. Kes itu sudah selesai. Keadilan telah ditegakkan dan beliau telah diampunkan. Kita lupakanlah,” katanya.

Saiful, yang menuduh Anwar meliwatnya sehingga dihukum penjara lima tahun mulai 2015, bertugas sebagai pembantu tokoh politik itu pada 2008, sewaktu kejadian itu berlaku.

Namun Anwar menerima pengampunan diraja pada Mei lalu yang membolehkan beliau aktif berpolitik semula. Pilihan raya kecil ini langkah awalnya untuk kembali ke Parlimen sebelum dilantik perdana menteri.

Pemuda itu juga berkata beliau ingin menjadikan pilihan raya kecil ini, yang disertai lima lagi calon termasuk PAS, sebagai langkah awal menyertai politik.

“Saya bukannya bodoh untuk bertanding kali ini. Saya sudah 33 tahun dan saya memang sangat serius. Saya rasa saya sudah layak untuk menjadi seorang ahli parlimen,” katanya kepada media.


“Sebagai anak didik Anwar, saya fikir tidak salah saya mencabar Anwar.”


NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.