Anwar tak endah, Mat Sabu tak tunai janji
Calon PAS di parlimen Port Dickson Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar menggambarkan lawannya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak endah pada hala tuju tentera dan veterannya.
Beliau mendakwa pernah berbincang masalah berkaitan di rumahnya di di Segambut, Kuala Lumpur tetapi tidak pun diperjuangkan selepas itu.
“Tapi dia buat ke tak buat? Tak buat. Kita dah terangkan dah,” katanya dalam ceramah kelompok di di Taman Intan Perdana, Port Dickson.
“Ini bukan cerita retorik. Tuan dan puan boleh semak. Saya juga yang bangkit bersama dengan (naib presiden PKR) Rafizi Ramli. Rafizi kalau dengar ini tolong sahkan betul atau tidak.”
Mohd Nazari tidak mendedahkan butiran lanjut pertemuan itu, termasuk butiran perbincangan.
Sebaliknya, kata Mohd Nazari, beliaulah yang tampil mengetengahkan isu kepentingan anggota tentera dan veterannya.
“Tuan, puan boleh semak dalam Youtube dan ketatan akhbar.
“Sayalah yang membawa isu Lembaga Tabung Angkatan Tentera agar dirombak dan disemak balik,” katanya.
Anwar kelmarin membuat penampilan mengejut calon Anwar di majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di dalam kem tentera Port Dickson.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kebajikan pesara tentera akan dipertingkatkan sekiranya wakil rakyat Port Dickson adalah seorang bakal perdana menteri, merujuk kepada Anwar.
Seramai 4,523 orang tentera menjadi pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) itu.
'Mana janji kau, Mat Sabu'
Sementara itu, Mohd Nazari juga mendakwa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang dulu seangkatan dengannya memperjuangkan nasib veteran tentera kini diam seribu bahasa.
Antara janji ditaburkan, katanya, berkaitan pemberian tanah untuk veteran tentera dan peneroka generasi kedua Felda.
“Sekarang mana janji kau? Soalnya tanpa menyebut nama Mohamad Sabu.
PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke parlimen.
Selain Anwar dan Mohd Nazari, lima lagi calon bebas mengambil bahagian, iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu Anwar Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen.
NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/
Post a Comment