Header

Hayati sejarah bentuk generasi muda menerusi sejara


Kesedaran generasi kini terhadap kepentingan sejarah boleh disifatkan sekadar bermusim kerana kebiasaannya ramai akan mula mengambil kisah mengenainya hanya menjelang tarikh penting tertentu seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Apabila berlalu sambutan itu, minat mereka dalam bidang ini kembali hambar, malah kadang kala tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling setiap hari dan kaitannya dengan sejarah.

Kesannya, generasi muda yang diharapkan menjadi pewaris masa depan dikatakan mempunyai pengetahuan yang amat cetek mengenai negara sendiri, lantaran kurang minat terhadap menghayati sejarah tanah air.

Perkara ini menjadi kebimbangan kepada sejarawan yang juga ahli akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang melihat semakin ‘jauh’ dan hilang penghayatan sejarah dalam kalangan generasi hari ini.

Beliau menyifatkan sejarah bukan sekadar suatu pendapat umum, sebaliknya perlu berasaskan pelbagai kajian dan penyelidikan.

Kay Kim yang baru-baru ini menerima Anugerah Merdeka 2018 atas sumbangan cemerlang kepada negara dalam pendidikan sejarah, menyifatkan keadaan negara yang dikatakan paling kompleks di dunia ini, berdasarkan komposisi penduduk memerlukan rakyat untuk tidak mengabaikan keutamaan bidang itu.

Bebas beri pandangan


Beliau berpendapat guru sekarang tidak tahu untuk mengajar dan menarik minat pelajar terhadap subjek Sejarah. Mereka juga tidak diberikan latihan seperti guru pada masa dahulu, memandangkan sistem pendidikan negara hari ini lebih mengutamakan peperiksaan.

“Murid diminta menghafal, sedangkan pelajar dahulu diberikan kebebasan untuk menjawab soalan berdasarkan pemerhatian dan pandangan mereka,” katanya dalam temu bual bersempena Anugerah Merdeka 2018.

Anugerah tajaan PETRONAS, ExxonMobil dan Shell itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan mengiktiraf Kay Kim bagi kategori pencapaian skolastik cemerlang kerana sumbangan gemilang terhadap penyelidikan sarjana, penyusunan interpretasi semula sejarah Malaysia dan dedikasi sepanjang hayat dalam pendidikan sejarah.

Berkongsi pandangannya terhadap usaha menarik generasi muda untuk terus meminati sejarah, Kay Kim berkata, subjek Sejarah dan Geografi perlu diberikan keutamaan semula di sekolah untuk membolehkan generasi muda lebih bersifat patriotik dan mengenali negara sendiri.

Bagaimana mungkin masyarakat hari ini faham mengenai sistem beraja negara yang suatu masa dahulu dikaitkan dengan ‘daulat’ jika tidak mempunyai pengetahuan asas adat istiadat resam dan tradisi penting berkenaan.

Penyatuan menerusi sukan

“Pada masa dahulu, orang Melayu amat takut ditimpa daulat, tetapi sekarang tidak lagi kerana generasi muda tidak memahami maksud ditimpa daulat.

“Daulat atau adat istiadat dalam bahasa Inggeris dipanggil tradition dan ia tidak semestinya berasaskan kebenaran, sebaliknya berasaskan kepercayaan,” katanya sambil menambah akibat tidak memahami sejarah membuatkan kepercayaan masyarakat pada masa kini menjadi bercelaru.

Kay Kim percaya, masyarakat hari ini perlu kembali seperti zaman sebelum merdeka, terutama dalam usaha menyatukan rakyat yang berbilang kaum dan berbeza pandangan serta kepercayaan.

Beliau menjelaskan, kerajaan British ketika itu nampak bahawa penduduk, terutama orang Melayu dapat disatukan hanya menerusi sukan, terutama bola sepak.

Guru besar juga diminta mengutamakan sukan menyebabkan kebanyakan sekolah ketika itu bukan sahaja memiliki padang yang luas untuk menjalankan pelbagai aktiviti riadah.

“Antara sekolah kerajaan mempunyai padang yang sangat luas ialah Penang Free School di Pulau Pinang, King Edward School di Taiping, Perak; Anderson School di Ipoh; Victoria Institution di Kuala Lumpur dan King George V di Seremban,” katanya.

Padang paling besar di seluruh Tanah Melayu ketika itu di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim menunjukkan bidang sukan amat diberikan tumpuan pada suatu masa dahulu, berbanding sekarang apabila pelajar dikatakan kurang aktif beriadah walaupun kebanyakan sekolah disediakan kemudahan padang.

Pencapaian luar biasa

Permohonan kerja turut menekankan bidang sukan kerana kebiasaannya mereka yang aktif akan diberikan keutamaan sebagai satu nilai tambah kepada calon pekerja.

Berikutan perkembangan itu juga menyebabkan negara turut menyerlah dalam bidang sukan sehingga melahirkan ramai bintang hebat dalam pelbagai bidang sukan sehingga peringkat antarabangsa.

Nama seperti Dol Fatah dan Dollah Dol cukup menyerlah dalam arena bola sepak, selain Tiger Ahmad yang menjadi anak Melayu pertama diiktiraf pada peringkat antarabangsa dalam sukan tinju tetapi mereka dilupakan akibat masyarakat kurang prihatin kepada sejarah.

Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, menurut Kay Kim bukan negeri biasa, tetapi disifatkan paling kaya berbanding jajahan lain dalam seluruh empayar British ketika itu

Beliau sudah mula mengumpulkan bahan tulisan Barat sebelum perang berkenaan yang memuji kehebatan penduduk Tanah Melayu untuk memastikan generasi akan datang mengenali dan menghargai kejayaan yang pernah dikecapi tanah air dengan pencapaian cukup luar biasa.

Norhafzan Jaafar



NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.