Header

DAP anti-Islam: Ahmad Marzuk


Sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini, kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, dengan beberapa Ahli Parlimen parti rasis dan cauvinis DAP.

Kekecohan berlaku ketika Ahmad Marzuk dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja petang tadi menjelaskan punca PAS tidak boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, ucapannya diganggu Ahli Parlimen DAP Rasah, Cha Kee Chin yang mencelah dan mendakwa PAS tidak boleh bekerjasama dengan PH kerana tidak diberikan wang RM90 juta.

Ahmad Marzuk yang tidak puas hati dengan kenyataan Kee Chin berkata, jika PH mahu selamat, pakatan itu perlu membuang parti anti kepada Islam seperti DAP.

Kenyataan itu menyebabkan P Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) dan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengarahkan Ahmad Marzuk menarik balik kenyataan itu, tetapi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu enggan berbuat demikian.



Ahmad Marzuk tetap tegas mempertahankan kenyataannya sambil berkata;

“Cuma, satu perkataan yang saya nak tanya kepada DAP dan sebut secara jujur dalam Parlimen ini. Adakah DAP bersetuju dengan agenda yang PAS bawa untuk menegakkan hukum dan syariat Islam dalam negara kita.?

“Kalau DAP tidak setuju dengan hukum Islam, sehingga membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat sebelum pada ini. Kalau tak setuju dengan Islam, maknanya anti kepada Islam. Apa yang nak ditarik balik.? Memang betul kenyataan, anti kepada Islam.

“Tuan Yang di-Pertua, tidak ada apa yang perlu ditarik balik. Memang, saya ulangi DAP anti kepada Islam. Saya tidak akan tarik balik. Memang anti kepada Islam, tidak suka kepada Islam, tidak suka kepada hukum Islam. Memang itu kerja DAP. Tolong jawab soalan saya.”

Mohd Rashid kemudian menyatakan pihaknya akan merujuk hansard sebelum sebarang keputusan dibuat.

22 Januari lalu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menyenaraikan 15 hujah dan bukti bahawa DAP sememangnya menentang Islam dan kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Lima belas hujah itu ialah:

1. Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah Aidil Adha yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang yang menyebut mengenai campur tangan DAP terhadap hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan. Malah, tokoh DAP, Karpal Singh cukup terkenal dengan kata-katanya, “an Islamic state over my dead body”.

2. Perlembagaan DAP jelas menyebut dalam Perkara 2 Matlamat-matlamat DAP adalah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal”.

3. Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Namun, dalam Perlembagaan DAP pada Perkara 3 Matlamat-matlamat DAP hanya menyatakan “mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama”.

4. Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 menulis, “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”. Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.

5. Penentangan DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan. Sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

6. DAP juga memiliki rekod membentak dan ingkar kepada Raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang yang menyeru agar ADUN DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik ADUN PAS sebagai Menteri Besar pada 2008.

DAP juga mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.

7. Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan JAKIM sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.

8. Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Qur’an, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Qur’an melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh, antara disebut beliau, “bahkan juga 1500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”

9. Dalam isu solat hajat, Teresa Kok mempersoalkan dalam ‘Facebook’ beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Ahli EXCO Hal Ehwal Agama Selangor dari PAS, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai dibatalkan.

10. Dalam isu umrah di Makkah, pemimpin DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, mempersoalkan sama ada dosa penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah. Sindiran sama juga telah disuarakan oleh pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan, dalam muka buku beliau pada Mac 2016 walaupun ia kemudiannya dipadamkan.

11. Dalam isu aurat, Nga Kor Ming telah menyindir purdah yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Ahmad Darus, yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai “pemimpin Melayu otak cacat”.

12. Dalam isu murtad, Dato’ Ngeh Koo Ham telah mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.

13. Pemisahan DAP dari semua pakatan politik yang pernah disertainya, iaitu Gagasan Rakyat pada Januari 1995, Barisan Alternatif pada September 2001 dan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 kesemuanya berpunca dari ketidaksetujuannya terhadap perjuangan Islam PAS.

14. Deklarasi Setapak DAP menyatakan, “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip ini lah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang”.

15. Kuat menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi.

“Ini merupakan sebahagian daripada banyaknya lagi hujah dan fakta serta senarai panjang mengenai DAP dalam isu ini. Sehubungan dengan itu, kami di Dewan Pemuda PAS Malaysia mencabar DAP supaya menjawab setiap satu daripada semua hujah ini dengan fakta yang sahih,” kata Ustaz Hishamuddin. - ISMA WEB


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.