Header

Demo pelajar UM: Penyokong Najib tidak akan minta maaf


PETALING JAYA: Penyokong Najib tidak akan meminta maaf kepada pelajar Universiti Malaya (UM) yang didakwa dikasari ketika mengadakan himpunan aman di hadapan universiti itu, Jumaat lepas.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam berkata gesaan itu amat melucukan, sekali gus mendakwa mereka (pelajar) melakukan satu bentuk provokasi terhadap penyokong Najib yang hadir pada program melibatkan bekas perdana menteri itu di sebuah restoran berdekatan.

“Saya rasa nak tergelak bila dia suruh kita minta maaf. Mengarut.

“Sepatutnya mereka malu kerana sebelum pilihan raya mereka laungkan slogan kebebasan bersuara, kebebasan media, berhimpun, tetapi bukan pada zaman Malaysia Baru,” katanya kepada FMT.

Semalam, seorang pemimpin pelajar universiti berkenaan menuntut penyokong Najib memohon maaf kepada pelajar yang mendakwa mereka dikasari.

Pengerusi Persatuan Belia Baru UM (Umany), Wong Yan Ke berkata, mereka mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan aman bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sikap hipokrit Najib berkaitan isu skandal 1MDB.

Dalam pada itu, Lokman mendakwa beberapa program Najib sebelum ini telah disekat oleh kerajaan.

“Najib nak pergi program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dia sekat. Kita nak buat program di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, dia sekat. Kita nak sembahyang di Masjid Al Rahman UM ada satu laporan polis dibuat.

“Nak ‘selfie di Langkawi, ada 5 laporan polis,” katanya.

Lokman juga mendakwa pelajar UM yang membuat provokasi dengan menaikkan poster jelik yang menggambarkan Najib seperti badut itu dibayar oleh pihak tertentu.

Najib pada masa kejadian sedang menghadiri program sembang santai bersama pelajar UM di Restoran Amjal berdekatan universiti berkenaan.

Lokman dirakam mengoyakkan plakad dan mempertahankan tindakan itu dengan menyifatkan plakad itu “menghina Najib”.

Najib kemudiannya berkata, beliau kesal dengan kejadian itu, selain menjelaskan bahawa beliau sudah didakwa di mahkamah tahun lalu atas isu sumbangan RM2.6 bilion daripada raja Arab saudi.

Beliau berkata, sumbangan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya itu telah dikembalikan kepada penyumbang 4 bulan selepas beliau menerimanya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.