Header

Saya tidak berparti, lebih gembira berniaga sekarang, kata Ong Tee Keat


KUALA LUMPUR: Bekas presiden MCA, Ong Tee Keat berkata beliau tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti dan gembira dengan kehidupannya pada masa ini.

Selepas 2 tahun meniggalkan MCA, Ong berkata, beliau lebih selesa menceburi bidang perniagaan sehingga terlupa mengenai politik.

“Saya sebenarnya sudah tidak bercakap mengenai politik, tetapi masih banyak wartawan yang meminta saya mengulas mengenai politik.

“Saya sekarang tidak berparti dan cukup berkecuali. Saya gembira dengan kehidupan sekarang,” katanya kepada media selepas ditemui dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara The Royal Bumbon Resort Holdings Sdn Bhd dengan Resort Savers Inc bagi membina pusat penjagaan kesihatan di Pulau Bumbon, Langkawi.

Projek seluas 37 hektar bernilai RM1.2 bilion itu melibatkan pembangunan sebuah pusat rawatan kanser dan sel stem berserta resort serta pusat Malaysia Rumah Keduaku di Pulau Bumbon, Langkawi,

Pada 2 March 2017, Ong, 63, yang merupakan bekas menteri pengangkutan mengesahkan beliau keluar MCA selepas lebih 30 tahun menjadi ahli parti itu, termasuk pernah menjadi presidennya.

Dalam pasa itu, Ong berkata, beliau ada menerima tawaran untuk menyertai sesebuah parti, tetapi enggan memberitahu nama parti tersebut.

Katanya, beliau hanya mendengar pandangan supaya menyertai parti, tetapi tidak menerimanya lagi kerana ingin fokus dalam perniagaan.

“Tetapi semua kawan dan saya sekarang berbaik-baik dengan semua pihak. Tak ada musuh.

“Kalau dalam dunia politik musuh banyak. Dalam perniagaan walau ada pesaing, setidaknya takkan jadi musuh, cuma pesaing,” katanya yang menjadi ahli Parlimen Ampang Jaya selama 5 penggal.

Ong berharap dalam landskap politik baru masa ini, hubungan antara kaum dan agama tidak terjejas.

“Landskap politik sekarang memang ada orang baru. Kena ambil masa nak belajar. Jangan sampai hubungan kemesraan terjalin antara kaum dan agama di Malaysia terjejas kerana politik,” katanya.

Ong dilantik sebagai menteri pengangkutan selepas pilihan raya umum 2008 dan dipilih sebagai presiden MCA pada tahun yang sama.

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.