Header

Menteri Diasak Pembangkang Selepas Kereta Terbang Jadi Jenaka Di Media Sosial


KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof ‘diserang’ dengan isu kereta terbang ketika menjawab Perbahasan Titah Diraja Kementeriannya dalam Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tidak sampai 10 minit baru memulakan sesinya, Mohd. Redzuan dihujani pelbagai soalan mengenai keghairahan menteri itu terhadap kereta terbang.

Ahli pembangkang yang mencelah mempertikaikan beliau kerana komitmen tersebut tidak mengatasi kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menangani masalah rakyat sejak menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perang mulut berlaku apabila kereta terbang dikatakan telah menjadi bahan jenaka dalam media sosial termasuk menggunakan teknologi buluh.

Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata, beliau tidak mempunyai masalah terhadap penghasilan kereta terbang, cuma mahukan penjelasan yang lebih munasabah agar tidak menjadi bahan jenaka.

“Kerana usahawan kecil menderita. Pasaran tiada dan tidak berkembang serta bantuan tidak banyak. Menteri pula tumpu kepada kereta terbang, ini yang buat rakyat marah,” katanya ketika mencelah.

Mohd. Redzuan bagaimanapun menafikan kementeriannya tidak memberi tumpuan kepada kumpulan usahawan.

Sebaliknya meminta mereka yang mempersoalkan kementeriannya supaya menyelidik usaha-usaha yang sedang dilakukan Pembangunan Usahawan dan bukannya menjadikan bahan jenaka.

Beliau malah menjelaskan sesiapa sahaja jangan memperlekehkan teknologi kereta terbang atau mobiliti udara lebih-lebih lagi ia mahu dibangunkan oleh rakyat tempatan.

Katanya, menjadi tanggungjawab beliau sebagai menteri untuk merangsangkan industri baharu supaya negara tidak ketinggalan dalam perkembangan dunia pada masa ini memandangkan telah ada teknologi yang dihasilkan oleh anak Malaysia.

Penjelasan beliau itu membuatkan suasana sidang Dewan Rakyat kembali tenang. – UTUSAN


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.