Header

MP: Kenapa nak rahsiakan rekod pentadbiran BN?


Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membentangkan laporan akhir Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Parlimen agar ia boleh dibahaskan secara terbuka.

Beliau mempersoalkan tindakan merahsiakan laporan tersebut yang menurutnya pasti menghampakan rakyat yang ingin melihat kerajaan bersikap lebih terbuka berbanding pentadbiran BN.

“Rakyat menaruh harapan yang tinggi apabila perdana menteri membentuk CEP sebaik sahaja menubuhkan kerajaan pada 9 Mei 2018.

"Apa yang hendak dirahsiakan rekod pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional daripada pengetahuan rakyat?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan CEP kekal diklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi untuk melindungi maklumat sulit di dalamnya.

"Laporan hanya diberi kepada perdana menteri dan tiada niat untuk membukanya kepada orang ramai," katanya ketika menjawab soalan Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh sama ada kerajaan berhasrat menjadikannya sebagai dokumen awam.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga pengerusi PKR Johor berkata beliau amat kecaewa mendengar kenyataan Hanipa itu dan berharap Mahathir dapat membentangkannya pada sidang Parlimen yang sedang berjalan sekarang.

"Dengan rendah hati dan penuh hormat saya suka mengingatkan bahawa perdana menteri adalah bertanggungjawab terhadap Parlimen, manakala Parlimen pula bertanggungjawab kepada rakyat.

"Inilah antara asas kerajaan demokrasi yang jauh berbeza dengan sistem pemerintahan autokrasi, kuku besi ataupun regim oligarki," katanya lagi.

CEP yang dipengerusikan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin ditubuhkan pada 12 Mei 2018, iaitu tiga hari selepas PH mengambil alih kerajaan pusat daripada BN.

Majlis itu mengadakan pertemuan dengan lebih 350 inividu daripada 200 organisasi pelbagai bidang, antaranya untuk merumuskan laporan berhubung dasar ekonomi dan kewangan.

Pada 20 Ogos lalu, Daim mengumumkan mandat CEP telah tamat apabila genap 100 hari pentadbiran PH dan akan menyerahkan laporan kepada Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir pada tahun lalu berkata laporan CEP tidak akan dijadikan dokumen awam kerana tugas majlis penasihat itu adalah untuk melaporkan kepadanya saja.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.