Header

Setiausaha agung Amanah sahkan calon bebas PRK Rantau ahli parti


SEREMBAN: Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir mengesahkan calon bebas pada pilihan raya kecil DUN Rantau, Mohd Nor Yassin adalah ahli baru parti Islam itu berdasarkan semakan keahlian parti.

Perkembangan ini tidak lama selepas Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menafikan Nor adalah ahli partinya dan dia menyertai Amanah pada 10 Mac lalu.

“Jawatankuasa pengurusan Amanah akan mencadangkan pemecatan keahlian Mohd Nor Yassin kepada jawatankuasa tatatertib parti kerana telah bertanding tanpa menerima watikah pelantikan calon daripada parti,” kata Anuar dalam kenyataan.

Beliau turut mengarahkan jentera Amanah dan ahli parti supaya membantu dan menyokong calon Pakatan Harapan, Dr S Streram dari PKR.

Nor, 67 bersaing dengan calon PH, Dr S Streram, 59 dan calon bebas, Malar Rajaram, 51, untuk merebut kawasan calon bertahan, Mohamad Hasan, 62 daripada Barisan Nasional.

Nor, yang pernah bertanding atas tiket PAS di Gemencheh pada PRU-13, dilapor bertanding di Rantau sebagai calon bebas untuk “menegakkan kepimpinan Islam” dan menyeru ahli-ahli PAs mengundinya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berkata Nor tidak ada menyerahkan borang.

“Ia tidak ada dalam pengetahuan saya,” katanya kepada FMT.

“Kalau dia ahli Amanah, dia kena dapat kelulusan daripada saya dulu, kemudian saya hantar kepada pusat.”

Sementara itu, Nor turut ditanya parti mana yang disokongnya sebelum ini.

“Semua parti saya sokong,” katanya kepada FMT.

Ditanya kenapa dia bertanding, Nor menjawab dia melakukannya kerana demokrasi.

“Kita nak bawa pembangunan yang berasaskan Islam,” katanya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.