Header

Najib dakwa caj parkir di Shah Alam naik 50% kerana diurus swasta


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak hari ini mendakwa caj parkir di Shah Alam akan naik 50% bermula Isnin depan, berikutan keputusan pihak berkuasa tempatan menyerahkan semua 70,000 lot parkirnya untuk diuruskan sebuah syarikat swasta minggu ini.

“Tidak kira nak ‘park’ 1/2 jam ke atau nak beli pas bulanan. Semua naik 50%,” tulisnya di Facebook.

Kelmarin, Majlis Bandaraya Shah Alam mengumumkan caj meletak kereta di kawasan PBT itu akan dinaikkan daripada 40 sen kepada 60 sen mulai 1 April ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad dilaporkan berkata, caj parkir bulanan pula naik daripada RM60 kepada RM90.

Beliau memberi alasan kenaikan 20 sen itu adalah wajar kerana kadar lama diguna pakai sejak 1998 dan kadar baru itu masih terendah berbanding PBT lain di Selangor dan seluruh negara.

Katanya, pengguna yang masih memiliki kupon 40 sen masih boleh menggunakannya sehingga tamat tempoh.

Hari ini, Najib mempersoalkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang juga ahli Parlimen Shah Alam sama ada beliau tahu mengenai kenaikan caj itu.

Ahli Parlimen Pekan itu secara sinis mempersoalkan Pakatan Harapan jika itu antara usaha Pakatan Harapan mengurangkan kos sara hidup atau hadiah kepada rakyat yang mengundi gabungan itu di kerusi Parlimen Shah Alam.

FMT sedang mendapatkan respons MBSA berhubung dakwaan ini.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.