Header

‘Waris’ tanah wakaf saman Majlis Agama Islam Pulau Pinang


GEORGE TOWN: Seorang lelaki hari ini memohon perisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa satu lot tanah wakaf di Butterworth adalah sebahagian daripada harta pusaka keluarganya dan tindakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) mengambil alih tanah itu adalah tidak sah.

Muhamad Amin Abdul Rahman, 46, memfailkan saman pemula terhadap MAINPP dan 2 yang lain berhubung satu lot tanah seluas 2.7 ekar di Jalan Mengkuang di sini, atau lebih dikenali sebagai Wakaf Abdul Cauder.

2 defendan lain adalah Jabatan Mufti Pulau Pinang dan Akmahaliza Ab Ghani sebagai pendaftar dan pentadbir tanah daerah.

Menurut saman berkenaan, Amin memohon perisytiharan bahawa beliau merupakan waris sah ke atas hartanah itu seperti wasiat nenek beliau, Kavana Ebrahim @ Burong. Tanah tersebut pada asalnya dimiliki oleh suami Kavana, Abdul Cauder.

Amin memetik suratikatan amanah Kavana bertarikh 17 Ogos 1892, yang menyebut keturunan beliau hendaklah dilantik sebagai pemegang amanah tanah berkenaan.

Beliau juga mahu mahkamah mengeluarkan nama “Majlis Ugama Islam dan Seberang Perai” sebagai pemilik berdaftarnya dan membatalkan apa-apa keputusan ambil alih tanah itu oleh MAINPP, Majlis Fatwa Pulau Pinang dan pendaftar tanah.

Peguam Amin, Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, pendaftar Mahkamah Tinggi menetapkan 19 April depan untuk mendengan permohonan MAINPP bagi membatalkan saman tersebut.

“Pemilik asal tanah ini tidak pernah melepaskannya untuk tujuan wakaf, tetapi hanya meminta keturunan atau cucunya supaya mentadbir tanah berkenaan sebagai pemegang amanah.

“Kita mahu buktikan bahawa tanah berkenaan bukan tanah wakaf, dan tidak pernah diberikan sebagai tanah wakaf,” katanya.

Isu ini mendapat perhatian umum minggu lepas selepas dilaporkan bahawa MAINPP, sebagai pentadbir tanah berkenaan, berhadapan kesukaran untuk mengeluarkan 46 keluarga yang tinggal di situ bagi membolehkan satu projek pembinaan apartmen dijalankan.

MAINPP sebelum itu menawarkan bayaran elaun kepada keluarga terbabit bagi membolehkan mereka menyewa rumah lain, selain menjanjikan sebuah kediaman ganti seluas 1,000 kaki persegi kepada mereka apabila apartmen berkenaan siap dibina.

MAINPP merancang membina sebuah apartmen kos sederhana 22 tingkat, 470 unit, di tanah tersebut.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.