Header

Perintah berkurung waktu malam belum sesuai dilaksana, kata TPM


KUALA LUMPUR, 14 Mac ― Kerajaan berpendapat larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam masih belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata keadaan itu disebabkan beberapa faktor termasuk ketiadaan ibu bapa di rumah untuk memantau anak mereka kerana melaksanakan lebih daripada satu pekerjaan bagi menampung kos sara hidup.

“Terdapat juga keperluan untuk kanak-kanak berada di luar rumah pada waktu malam seperti kelas tuisyen, aktiviti sukan dan agama di surau.

“Terdapat juga kanak-kanak yang bekerja bagi membantu menyara keluarga daripada segi sosio ekonomi seperti yang dibenarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi kanak-kanak berumur 15 tahun ke atas kerana pendidikan sekunder kita juga belum diwajibkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu keputusan kerajaan berhubung cadangan perintah berkurung kepada remaja di bawah umur 18 tahun seperti yang dinyatakan awal tahun ini. ― Bernama


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.