Header

Brunei Darul Salam : Bumi Yang Di Rahmati Dan Di Berkati


Setinggi – tinggi tahniah buat Kerajaan Brunei Darussalam ke atas implementasi Hukuman Jenayah Syariah sepenuhnya bermula 3hb April 2019. Sesungguhnya memuliakan agama Allah adalah jalan terbaik untuk kebaikan manusia. Kesungguhan Kerajaan Brunei Darussalam dalam melaksanakan Hukuman Jenayah Syariah mengikut lunas dan keadah syariat yang sebenar wajar di puji dan di ikuti.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya menyokong keputusan Kerajaan Brunei Darussalam dalam melaksanakan syariat dan hukum Allah, namun terdapat ramai di luar sana terutama daripada Barat yang mengutuk, mengeji malah mahu memboikot Kerajaan Brunei Darussalam kerana tindakannya. Lebih menyedihkan terdapat juga umat Islam yang turut sama mengutuk malah mengeji tindakan Kerajaan Brunei Darussalam.

Alasan mereka ialah hak dan kebebasan untuk memilih cara serta gaya hidup, melakukan diskriminasi terhadap golongan LGBTQ dan kaedah hukuman yang kejam. Namun mereka lupa Brunei Darussalam adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka serta mempunyai hak dan kebebasan untuk melaksanakan hukuman dan memerintah mengikut undang – undang pilihan mereka sendiri.

Golongan penentang ini mahu orang lain menghormati hak kebebasan mereka namun mereka pula tidak menghormati hak dan kebebasan orang lain. Daripada pelakon tersohor dunia, bekas Naib Presiden, aktivis, ahli politik di Eropah dan segelintir orang Islam turut mengutuk tindakan Kerajaan Brunei Darussalam. Mereka berkata tindakan Brunei Darussalam umpama membawa dunia mundur kebelakang, zalim dan tidak bertamaddun.

Namun jika kita lihat mereka yang mengutuk tindakan Brunei ini, sebahagian dari mereka ini jugalah penyokong kuat penjajah Zionist Israel. Tidak pula mereka mengutuk dan mengambil tindakan ke atas Zionist Israel malah bertindak melakukan veto jika di bawa kezaliman Zionist Israel ke Majlis Keselamatan PBB. Mereka menutup mata di atas kekejaman Zionist Israel membunuh warga Palestin yang tidak berdosa dan mengusir dari kampung halaman dan negara mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka menjual senjata kepada Zionist Israel di mana senjata itu membunuh rakyat Palestin. Malah mereka ini juga menentang tindakan memboikot Zionist Israel dengan menghukum sesiapa yang memboikot. Apakah tindakan Zionist Israel itu betul dan bertamaddun ? Sebetulnya tindakan Zionist Israel itu cukup jijik, zalim, tidak bertamaddun, kejam, langsung tidak bermoral, lari dari norma manusia yang waras, lebih membawa manusia mundur serta lebih teruk dari haiwan.

Sepatutnya sebelum mereka bertindak mengutuk dan mengancam memboikot Brunei Darussalam, mereka sewajarnya menilai diri di atas sikap hipokrasi mereka sendiri dengan memulakan ke atas Zionist Israel dengan mengutuk kekejaman, mengambil tindakan tegas, memboikot dan mengenakan sekatan politik mahupun ekonomi ke atas Zionist Israel. Zionist Israel bukan sebuah negara yang sah dan penjajah manakala Brunei Darussalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka serta berhak melaksanakan undang –undang pilihan mereka.

Syabas Brunei Darussalam. Semoga Senantiasa Dalam Peliharaan Allah SWT.

Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.