Header

Dr M bukan diktator, tapi pemimpin realistik tiada banyak masa


Tumpuan pemerhati politik negara pada masa ini tentunya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Rantau yang penamaan calonnya berlangsung Sabtu lalu.

Walaupun ia hanya PRK bagi kawasan DUN yang tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri, ditambah pula rentetan PRK sejak awal penubuhan kerajaan di Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu, Rantau tetap menjadi tumpuan bukan saja pemerhati politik, tetapi aktivis daripada kedua-dua pihak bersaing.

Sebelum ini sudah berlangsung 6 PRK, sama ada untuk kerusi DUN mahupun Parlimen selepas pilihan raya umum ke-14. Bermula di Sungai Kandis, diikuti Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Cameron Highlands dan Semenyih. Bukan itu saja, selepas Rantau, PRK selanjutnya di Sandakan.

Setiap PRK adalah unik, tetapi trend pengundian dapat dikesan daripada Pakatan Harapan memenangi 4 PRK, diikuti 2 PRK yang dimenangi Barisan Nasional.

Masing-masing mempunyai strategi tersendiri, tetapi Rantau yang memiliki komposisi kaum berbeza dengan kawasan terdahulu menuntut kerjasama bukan saja Umno dan PAS, tetapi juga penyertaan penting MCA dan MIC.

Di sini, PAS menampilkan kesediaannya bekerjasama dengan MCA dan MIC. Maka, apa yang berlaku bukan saja pengukuhan parti komponen BN antara Umno, MCA dan MIC, tetapi juga keseluruhan BN serta PAS sendiri.

Maka, perhatian tertumpu sama ada BN boleh mengulangi kemenangannya di Cameron Highlands dan Semenyih pada Rantau yang mempunyai peratusan komposisi kaum lebih besar kemajmukannya.

Persoalan juga diutarakan sama ada PH mampu menang atau tidak di Rantau, memandangkan dalam sejarah, ia sentiasa dikuasai Perikatan dan BN sejak 1964, sama ada melalui MCA atau Umno. Cuma pada awal penubuhan kawasan itu pada 1959, kerusi itu dimenangi calon Barisan Sosialis Rakyat Malaya dari Parti Buruh Malaya.

PRK kali ini, turut bertanding ialah 2 calon bebas. Seorang daripada kalangan orang Melayu yang pernah menjadi ahli PAS dan menyertai Amanah beberapa bulan lalu. Amanah menegaskan sokongannya kepada calon PH dan membatalkan keahlian calon bebas itu.

Seorang lagi calon bebas daripada kaum India. Memandangkan calon PH ialah orang India dari PKR dan calon BN merupakan orang Melayu dari Umno, maka dapat dijangkakan apakah tujuan calon bebas itu bertanding. Mereka boleh memecahkan undi, tetapi tidak diketahui undi siapa yang mahu dipecahkan mereka. Besar kemungkinan undi PH.

Namun, pada hari penamaan calon di Rantau pada 30 Mac lalu, satu laporan media mewawancara Dr Mahathir Mohamad wajar menjadi renungan rakyat, khususnya ahli politik, aktivis dan juga pemerhati.

Walaupun kenyataan itu tidak mengubah sebarang keadaan politik, tetapi apa yang disuarakan Mahathir boleh dianggap sesuatu yang penting dan perlu dijadikan renungan.

Wawancara yang dimaksudkan itu dilakukan akhbar perniagaan, Focus Malaysia dengan tajuk berbunyi “Dr M: Saya tergesa-gesa sebab tak banyak masa lagi”.

Kenyataan seperti ini bukan perkara baru. Nada seumpama kenyataan ini pernah dibuat Mahathir tahun lalu, beberapa hari selepas kemenangan PH dalam PRU14. Ketika itu, beliau diwawancara akhbar perniagaan, The Financial Times yang berpangkalan di London.

Namun, selepas lebih 10 bulan menjadi perdana menteri, rakyat terutamanya penyokong beliau mungkin lupa Mahathir tidak seperti kebanyakan orang kerana kerana beliau kini berusia 93 tahun.


Maka dalam usia sebegitu, ada satu ketentuan yang mesti dihadapi bukan saja beliau, tetapi juga seluruh negara di bawah pimpinannya. Justeru, penulis merasakan realiti ini lebih penting daripada PRK Rantau yang tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri di Seremban.

Dalam wawancara itu, Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai banyak masa lagi dengan mengambil kira usianya yang mencecah 93 tahun.

“Saya bertuah untuk hidup selama ini. Sebenarnya, saya tidak patut hidup lagi untuk menyaksikan apa yang berlaku terhadap pengganti saya, tetapi saya bernasib baik kerana saya bukan sahaja tua, tetapi masih berupaya berfungsi.

“Tapi, saya sedar saya sangat tua dan tidak lama lagi saya akan kehilangan kudrat dan saya akan mati,” katanya.

Ternyata beliau bukannya menafikan realiti ataupun “in denial” terhadap keadaannya seperti tuduhan pihak tertentu dengan nada seolah-olah mahu beliau berundur segera.

Pemikiran beliau masih jelas, malah boleh dikatakan lebih jelas daripada ramai pemimpin yang jauh lebih muda daripadanya.

“Jadi, saya tergesa-gesa. Orang lain mungkin mengambil perkara dengan mudah, tetapi saya hendak cepat kerana saya sedar saya sudah tidak ada banyak masa lagi untuk melakukan apa yang sepatutnya dibuat di negara ini.”

Bagi pemimpin PH, sama ada bakal penggantinya Anwar Ibrahim atau ahli politik lain dalam PKR, PPBM, DAP dan Amanah, realiti yang akan berlaku pada bila-bila masa tentunya sudah ada dalam pertimbangan mereka. Malah, sebelum PRU14 lagi, persiapan bagi menghadapi keadaan itu pasti sentiasa difikirkan.

Walaupun tidak dapat dipastikan apa yang akhirnya berlaku, tidak ada sesiapa yang boleh meramalkan perjalanan politik. Seperti cuaca, politik mempunyai banyak faktor untuk menentukan pergolakannya.

Di pihak pembangkang juga, sama ada BN, PAS atau bekas parti komponen BN, termasuk di Sarawak dan Sabah, mereka juga maklum dengan realiti ini dan tentu menjadi tajuk perbincangan serta pertimbangan.

Mahathir bersikap realistik apabila menyuarakan kesediaannya melepaskan jawatan apabila tiba masanya. Tetapi, bila masanya?

Beliau berkata: “Jika saya diminta berundur, saya akan pergi kerana tiada tarikh khusus yang diberikan.”

“Saya hanya diberitahu (PH sebelum PRU14) bahawa saya perdana menteri dari pakatan pembangkang (ketika PH masih menjadi pembangkang), tetapi mereka tidak memperincikan tarikhnya (sehingga bila),” kata Mahathir.

Apa yang dimaksudkan “mereka” ialah pemimpin sekutu PH, iaitu PKR, DAP dan Amanah serta platform yang digunakan “mereka” tentunya ialah Majlis Presiden. Tetapi, pihak yang lebih kuat menentukan kedudukan Mahathir adalah partinya sendiri, iaitu PPM yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Andai kata mereka mendapati keupayaan Mahathir boleh dipersoalkan kerana usianya, PPBM boleh membuat keputusan sewajarnya sebelum perbincangan dalam Majlis Presiden PH.

Tetapi, penulis percaya jika Mahathir merasakan dirinya sudah tidak berupaya, maka beliau akan melakukan perkara sewajarnya sebelum PPBM atau PH sendiri membuat keputusan. Ini kerana, Mahathir ialah seorang yang realistik, bukan “diktator” yang mahu mengekalkan kuasa.

Oleh itu, beliau berkata: “Mereka telah berkata saya hanya (perdana menteri) sementara dan akan ada orang lain yang akan mengambil alih. Saya fikir masanya mungkin lama sebelum pilihan raya umum akan datang.”

Kata-kata beliau ini tentu mengharukan rakyat, terutamanya penyokong beliau. Lebih-lebih lagi usaha beliau untuk membersihkan kerajaan dan membina semula negara belum selesai.

ZIN MAHMUD



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.