Header

Ketika Hamka diharamkan di Johor


Baru-baru ini seorang pemimpin cabang ikatan muslimin bertanyakan kepada saya, siapakah yang menghalang kemajuan umat Islam di tanah air kita yang tercinta ini?

Saya memberitahunya, untuk menjawab pertanyaan sedemikian, kita perlu imbas kembali 40-50 tahun lampau.

Ini kerana kita tidak dapat menghujahkan kesempitan, keterperukan, ketersekatan, dan keganjalan agama Islam hari ini terjadi semata-mata kerana, katakanlah “sejak Anwar Ibrahim keluar Abim dan masuk UMNO”.

Kita juga tidak boleh menghujahkan agama ini tersadung nyaris tersungkur sejak PAS mengetengahkan Amanat Hadi.
Tentu tidak adil kita menyalahkan semata-mata Penerapan Nilai-Nilai Islam yang digagaskan Dr Mahathir Mohamad 1.0.

Ada banyak faktor yang menjadikan umat Islam di negara ini terbungkam dan terbisu tidak nampak jalan keluar. Malah tentu, tidak cukup kajang kertas untuk saya dakwatkan. Bahkan yang bertanya itu tidak akan sanggup duduk bertunggu bertangga dengan saya mendengarnya.

Saya terlebih dahulu bertanya, “Enta kenal Hamka?”
Beliau menjawab, “Kenal.”
“Enta boleh menerima beliau?”
“Sudah tentu ana boleh menerima Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka. Bapa beliau mencorakkan Hamka, dan kehebatannya terserlah di Malaysia dan Indonesia. Lagipun Hamka bukan liberal, dan naudzubillah bukan pula Syiah.”
“Aiwah,” balas saya.

Hamka sering datang ke Malaysia pada 1950an dan 1960an. Salah sebuah negeri yang hangat menerima beliau adalah Perak, juga Kedah.

Pada 1960, ketika berucap di Masjid Radhwaniah Kuala Kangsar, Hamka mengkritik ulama tempatan kerana suka membincangkan hal-hal remeh.

Saya petik kata-kata beliau seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian 26 Ogos 1960, dengan tajuk “Ulama Sini Tengkar Soal Kechil2”.

Hamka mengatakan: “Saya hairan sa-tengah2 ulama Malaya yang semua-nya kawan saya bertengkar masa’alah kechil saperti yang satu kata katak haram dan yang sa-orang kata halal, tetapi yang mengatakan halal sa-benarnya ta’ sanggup makan katak itu. Dengan pertelingkahan begini perkara2 besar telah di-alpakan dan masharakat Islam di-negeri ini berpechah belah dan merugikan bangsa kita.”

Dalam akhbar yang sama, Hamka, yang kemudian berceramah di Kulim, Kedah menyatakan: “Soal pokok sekarang bukan-lah soal sembahyang tidak berusolli melainkan soal menegakkan sekitar Islam di negeri ini” (“Ulama Malaya Mengutamakan Soal2 Tetek Bengek”, Berita Harian 26 Ogos 1960).

Kawan saya menjawab: “Waras, ana tidak nampak apa yang salah. Tentu enta akan menghujahkan kami tidak bersuara hal korupsi dan penyelewengan Tabung Haji? Konon kami lah tergolong dalam kumpulan yang dikritik Hamka.”

Saya cuma tersenyum geli hati tetapi membalas, “Sungguh akhi prasangka terhadap ana. Begini, meskipun disambut hangat di Perak dan Kedah. Malangnya di Johor beliau dilarang, atau diharamkan dari berceramah atau berdakwah. Mohon dicerna maklumat yang ana berikan setelah ini.”

Beliau nampak kurang berpuas hati. Saya mengeluarkan fail memuatkan keratan laporan Berita Harian tertera judul, “Mengapa-kah Hamka Di-larang Bersharah di-Masjid2 Johor”, bertarikh 15 September 1960.

Seseorang dengan nama H. Idris telah menulis mempertikaikan alasan Hamka dilarang masuk Johor dan berceramah.

Pengarang itu menyatakan begini, “…memang sudah ada di-keluarkan surat pekeliling mengenai orang2 yang hendak memberi sharahan mereka di-masjid2 atau di-surau2 harus mendapat izin dari Jabatan Ugama Johor terlebeh dahulu.”

Seterusnya H. Idris menyelar, “Kunjongan Tuan Hamka ka-negeri Perak telah di-anjorkan sa-chara rasmi dan ulama Indonesia itu telah mendapat layanan yang baik tidak sahaja dari ulama2 Perak, tetapi daripada kerajaan Perak. Beliau diberikan sa-penoh2 kebebasan untok bersharah di-masjid2 dan surau2 negeri Perak.

“Ada-kah Jabatan Ugama Johor menganggap Tuan Hamka saorang ulama ‘subversib’ pula, sedangkan Jabatan Ugama Perak menganggap beliau saorang ulama yang nasihat2nya perlu di-dengar dan di-pertimbangkan oleh umat Islam negeri Perak? Menurut hemat saya, peratoran Jabatan Ugama Johor itu menunjokkan satu lagi kekolotan Jabatan itu mentadbirkan hal2 ehwal ugama di negeri itu.”

Idris dengan lantang mengatakan beliau percaya halangan Hamka berada di Johor itu ada kaitan dengan teguran beliau agar ulama tidak mempertengkarkan soal-soal kecil.

Bukan setakat itu, pada 1960, H. Idris menawarkan penyelesaian yang kita semua fikirkan hari ini, iaitu kerajaan persekutuan menyeragamkan sahaja dasar dan peraturan mengenai urusan agama. Ini supaya kemajuan penganut agama Islam dapat digerakkan.

Beliau menulis: “Soal ini menunjokkan sa-kali lagi betapa perlu-nya kita menyatukan dasar dan peratoran2 untok mentadbirkan urusan2 ugama di-seluroh negeri ini. Kita harus mempunyai peratoran2 dan undang2 ugama yang meliputi seluroh Persekutuan, supaya perjalanan sa-tiap usaha kita ka-arah memperkembang ugama Islam di-negeri ini dapat bergerak sa-rentak dan lanchar.”

Pemuda itu mencelah, “Tetapi urusan agama adalah milik mutlak negeri-negeri.”

Perak begitu terkehadapan dalam soal membuka wacana keagamaan berbanding Johor. Tentu, ia sangat berkait dengan tampuk kepimpinan yang panjang akal dan berilmu.

Pemuda itu cuba menghadam maklumat yang saya salurkan dan memberi reaksi, “Jadi ulama sendiri punya salah?”
“Kesalahan itu berkembar.”
“Apakah kesalahan berkembar?”

Kisah mufti di Selangor

Setahun sebelum Hamka tiba di Malaya dan diarak untuk berceramah di Perak, Kedah dan Kelantan, Selangor mengambil langkah gelap.

Pada 1959, Mufti Selangor, Saiful Fadhilah melarang sekolah agama di Selangor dari mengajar subjek selain agama atau disebutkan, “pelajaran2 tidak merupakan pelajaran2 Islam pada pokoknya”.

Beliau menambah subjek yang “terkeluar daripada kehendak2 Islam” harus dilarang dari diajarkan (“Amaran Mufti Kepada Alim Ulama”, Berita Harian, 22 Julai 1959).

Nah, hari ini ulama Jakim menasihati KDN untuk melarang buku. Ia bermula dengan kejumudan lalu.

Apakah contoh subjek yang “terkeluar daripada kehendak Islam?”

Mufti Selangor itu memberikan contoh “pelajaran psychology atau ilmu jiwa di dalam kolej itu (Kolej Islam)”.

Sesungguhnya rasa tidak puas hati mufti itu bukanlah datang daripada beliau seorang. Saya memetik berita tersebut:

“Mufti itu kemudian menyampaikan rasa tidak puas hati Sultan Selangor terhadap pelajaran2 di Kolej Islam. Kata-nya: Tuan2 jangan-lah menyangka bahawa Tuan-ku berpuas hati dengan pelajaran2 di-Kolej Islam Malaya. Mata pelajaran di-Kolej itu maseh belum memuaskan hati Baginda.”

Seperti yang telah saya nyatakan di atas, antara pelajaran yang dirungutkan adalah “ilmu jiwa”.

Maka tahulah kita mengapa pelajaran agama dalam tahun 2019 tidak berjiwa, semata-mata kerana ia dimusuhi lantaran “terkeluar daripada kehendak2 Islam”.

Tanpa menjawab pertanyaan polos dan naif itu, saya menceritakan betapa kira-kira 10 tahun kemudian, perihal yang dikritik Hamka itu masih lagi tidak berubah.

Sikap jumud Saiful Fadhilah itu kekal bertahan sehinggakan, seorang ilmuan besar dari Kolej Islam Malaya, Ustaz Faisal Othman, yang kemudiannya menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, mengatakan “ulama2 Islam kechewa menghadapi cabaran zaman” lantaran “ulama2 Islam kekurangan dalam ilmu2 pengetahuan keduniaan – secular.”

Hal ini boleh disorot dalam Berita Harian 10 September 1970 dalam laporannya “Chara Untuk Atasi Masa’alah Ulama Menurut Pensharah”.

Faisal dalam tahun 1986 menulis sebuah makalah berjudul “Kaitan Ilmu-ilmu Agama dengan Sains Sosial”. Antara petikan yang sangat penting di dalam artikel itu: “Skop pengajian terkongkong semata-mata dalam lingkungan perbahasan agama yang sempit melulu. Justru itu ia tidak mampu mengeluarkan tenaga-tenaga manusia yang dikehendaki oleh pembangunan fizikal masyarakatnya.”

Beberapa dekad setelah itu semua, kita masih “tidak mampu” kerana ada “kesalahan kembar” yang mana umat Islam-Melayu terpasung dan kekal tidak dapat memerdekakan dirinya.

“Jadi menurut enta, kita, meminjam H. Idris, tidak dapat maju kerana kekolotan ulama dan kekangan yang melulu? Bahawa salah satu jalan untuk maju ialah dengan menyeragamkan urusan agama di peringkat persekutuan?”

Saya membetulkan kata ganti diri yang digunakan. “Bukan kita yang tidak maju kerana kekolotan, kamu atau kalian yang tidak mahu kerana kekolotan atau kesalahan berkembar tersebut. Jangan libatkan saya dengan kata kita.”

Saya lihat pemimpin ikatan muslimin semacam terkilan. Akan tetapi egonya sebagai seorang kolot terlalu besar untuk diucapkan dengan jelas.

Meskipun mulanya memperakukan Hamka bagus, dia akhirnya kekal terbenam dalam kekolotan Saiful Fadhilah.

Dan demi menegaskan benang basah, dia memandang dengan mata mengecam, “Arghh memang betul lah kau Syiah Liberal!”
FAISAL TEHRANI

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.