Header

Pengakuan Rafizi, bukti PH berdrama: Mohamad


SEREMBAN - Pengakuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa beliau yang mengarahkan calon PH, Dr S Streram supaya merempuh kawalan polis pada hari penamaan calon pada PRU14 tahun lalu jelas membuktikan ia adalah drama yang sengaja diada-adakan.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu sudah dijangka lebih awal memandangkan alasan yang diberikan tidak masuk akal.

"Saya selalu katakan bahawa saya punyai keyakinan yang tinggi bahawa tindakan Streram tidak membawa pas keselamatan (semasa hari penamaan calon) hanya satu drama sahaja.

"Mana mungkin hendak masuk dan jadi calon tidak bawa pas keselamatan kan? Mereka mengadakan drama ini (merempuh kawalan polis) supaya dapat tunjukkan betapa kotornya sistem pilihan raya di Malaysia," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di sini, hari ini.

Terdahulu, Rafizi yang membuat kemunculan pertama pada ceramah umum PH di Pekan Rantau semalam mendedahkan bahawa beliau yang mengarahkan Streram supaya merempuh kawalan polis selepas pakar bius itu tidak dibenarkan masuk kerana tidak membawa pas keselamatan.

Sementara itu ditanya sama ada wajar atau tidak Rafizi dikenakan tindakan kerana menghasut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Kalau sudah ada pengakuan daripada Rafizi saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis siasatlah dia (Rafizi) kerana selama ini nama baik polis dan SPR telah tercemar," katanya.

Pada penamaan calon PRU14 tahun lalu, Streram gagal mengemukakan kertas pencalonan selepas tamat waktu yang ditetapkan SPR pada pukul 10 pagi.

Ini ekoran beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat tersebut kerana tidak memiliki pas calon daripada SPR.

SPR kemudian mengisytiharkan calon Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding di kerusi DUN berkenaan.

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.