Header

Penggeledahan di Ambank rampas dokumen akaun Najib, SRC


Pegawai penguatkuasa Bank Negara berjaya merampas dokumen akaun bank melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, SRC International Sdn Bhd dan Gandingan Mentari Sdn Bhd ketika penggeledahan di Ambank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai, 2015.

Perkara itu dinyatakan saksi kedua perbicaraan kes Najib berkaitan SRC International, pegawai Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Ketika sesi soal jawab di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Azizul berkata dia merupakan sebahagian daripada pegawai yang menyertai penggeledahan untuk mendapatkan dokumen penting untuk kes itu.

(Untuk rekod, penggeledahan dilakukan selepas empat hari Wall Street Journal menyiarkan laporan penyiasat percaya sekurang-kurangnya AS$700 juta dimasukkan ke akaun Najib)

Menjadi pegawai Bank Negara sejak 2008, Azizul, 41, memberitahu Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim bahawa dia merupakan pegawai yang menerima dokumen daripada pengurus bank cawangan, R Uma Devi.

Suhaimi: Apa yang anda siasat pada 6 Julai 2015?

Azizul: Saya dilantik menjadi pegawai geledah oleh pegawai (Bank Negara) Ahmad Farhan Sharifuddin berhubung dakwaan kesalahan yang dibuat mengikut Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001).

Suhaimi: Di mana anda lakukan penggeledahan?

Azizul: Di Ambank cawangan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Suhaimi: Mengapa anda diarahkan untuk membuat penggeledahan di Ambank?

Azizul: Untuk membantu siasatan bahwa Amla, berdasarkan satu laporan. Saya ke sana bersama tiga lagi pegawai Bank Negara.

Suhaimi: Siapa yang anda jumpa di cawangan Ambank?

Azizul: Saya berjumpa dengan R Uma Devi, pengurus Ambak Raja Chulan. Saya beritahu dia secara lisan senarai akaun yang diperlukan untuk siasatan Bank Negara. Dia kemudian kembali dengan dokumen-dokumen.

Suhaimi: Kemudian apa tindakan anda?

Azizul: Saya meneliti dokumen itu (mengandungi dokumen pembukaan akaun dan dokumen sokongan) dan merekodkannya dalam senarai barang yang dirampas.
Rekod tersebut untuk siasatan Bank Negara.

Apabila senarai itu ditunjukkan di mahkamah, Azizul mengesahkan tandatangannya pada dokumen itu, serta tandatangan R Uma Devi. Uma menurunkan tandatangannya ketika menyerahkan dokumen kepada Azizul.

Ketika Suhaimi bertanya jumlah dokumen yang dirampas, Azizul berkata ada lapan set, berkenaan pembukaan bank akaun sejak 2011 hingga 2015, melibatkan empat akaun Najib, tiga berkaitan SRC International, dan satu melibatkan Gandingan Mentari.

Suhaimi: Kemudian anda serahkan (dokumen yang dirampas) kepada siapa?

Azizul: Saya serahkan kepada pegawai penyiasat kes Ahmad Farhan sehari selepas merampasnya.

Suhaimi: Selain borang serahan ini, apakah dokumen lain yang diserahkan kepada Ahmad Farhan?
Azizul: Saya juga serahkan borang senarai geledah serta dokumen yang telah dirampas.

Suhaimi: Dokumen yang anda serahkan sama dengan dokumen (yang ditunjukkan di mahkamah untuk pengesahan)?

Azizul: Ya.

Azizul kemudian membacakan surat pelantikan sebagai pegawai geledah Bank Negara selepas diminta Suhaimi untuk berbuat demikian.

Menurutnya, dia dilantik pada 30 Jun 2015 dan diberi kuasa untuk menjalankan tugas sebagai pegawai penyiasat mengikut Amla dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, untuk setiap tugas tertakluk kepada Bank Negara.

Lantikan itu berkaitan dengan penggeledahan di Ambank Raja Chulan pada 6 Julai 2015 itu.
Ketika perbicaraan, Suhaimi juga memanggil Farhan dan Uma Devi ke mahkamah dan bertanya kepada Azizul sama ada dua individu itu merupakan pihak yang berurusan dengannya ketika penggeledahan.

Azizul mengesahkannya.

Perbicaraan bersambung esok di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Azizul dijangka disoal balas oleh pasukan pembelaan Najib.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.