Projek pembangunan Kg Baru untuk kroni DAP, kata Najib
KUALA LUMPUR, 23 April — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sengaja menggunakan alasan mahu peruntukan pembangunan Kampung Baru berjumlah RM10 bilion supaya kroni DAP mendapat keuntungan.
Najib berkata, PH menggunakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membeli rumah dan tanah orang Melayu untuk dirobohkan seterusnya menyerahkan pula kepada syarikat pemaju.
“Oleh itu, dia (kerajaan) nak gunakan DBKL untuk pinjam sehingga RM10 bilion untuk beli semua rumah-rumah dan tanah-tanah orang Melayu di sana supaya ianya boleh dirobohkan dan diberi kepada syarikat pemaju untuk dimajukan.
“Tunggu apa lagi? Cepatlah buat. DAP banyak kawan-kawan ‘tokay’ pemaju,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata pihaknya memerlukan dana sehingga RM10 bilion untuk memajukan Kampung Baru seluas 100 hektar menjadi penempatan moden masyarakat Melayu di tengah bandaraya.
Khalid berkata dana diperlukan dengan syarat semua 2,388 pemilik tanah setuju menerima tunai sebagai rundingan pengambilalihan tanah milik mereka untuk dibangunkan pemaju yang akan dilantik DBKL.
Sementara itu, Penasihat Perbadanan Kampung Baru Syed Badli Shah Syed Osman berkata, segala rundingan dan cadangan pembangunan perlu melibatkan pemilik tanah secara terus tanpa ada mana-mana badan yang mengaku mewakili mereka.
“Rundingan secara terus antara kerajaan dan para pemilik tanah akan memudahkan lagi kerajaan mengenal pasti hasrat sebenar para pemilik.
“Saya yakin rata-rata para pemilik ingin melihat tanah mereka dimajukan. Tawaran yang baik dengan membawa manfaat secara bersama akan menarik minat mereka untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk pembangunan.
“Justeru itu segala tawaran dan keuntungan dimasa hadapan haruslah dibincang secara dua hala demi mencapai kata muafakat untuk melihat Kampong Bharu dimajukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula mencadangkan identiti asal Kampung Baru dikekalkan, pada masa sama menyediakan pembangunan untuk rakyat seperti taman, rumah mampu milik, dan kemudahan lain.
“Bolehkah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi melihat contoh pembangunan semula bandar-bandar lain yang menggabungkan kepentingan awam, perubahan semula dan pengekalan identiti kawasan tersebut? Boleh dijadikan satu contoh jika dibuat di Kampung Baru,” katanya di Twitter.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Iklan Berbayar :
☀ Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮
Post a Comment