Header

PAS gesa P Pinang gubal akta halang sebar agama bukan Islam kepada orang Islam


GEORGE TOWN: Wakil tunggal PAS di Pulau Pinang semalam meminta kerajaan negeri menggubal undang-undang bagi menghalang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) berkata cadangan enakmen itu amat diperlukan memandang beberapa insiden seperti pelajar sekolah di Bukit Mertajam yang menjadi sasaran dalam kegiatan penyebaran risalah Bible, pengedaran risalah Bible di taman di Penaga dan awal tahun ini isu melibatkan pemaju bangunan kediaman di Jelutong yang memaparkan cahaya lampu berbentuk lambang salib pada waktu malam.

Menurutnya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama persekutuan tetapi secara harmoninya, penganut agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka.

“Saya ingin mengesyorkan kerajaan negeri untuk mewujudkan enakmen itu selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas pada persidangan DUN semalam.

Bagaimanapun, Yusni berkata Pulau Pinang merupakan antara 4 negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak yang masih belum menggubal enakmen kawalan dan sekatan penyebaran agama atau ajaran bukan Islam kepada orang Islam.

Sementara itu, Yusni turut mencadangkan supaya kerajaan negeri mewujudkan hotel yang patuh syariah di Pulau Pinang, yang terkenal sebagai destinasi pelancongan.

“Antara ciri-ciri hotel patuh syariah adalah tiada jualan arak, surau mengikut kapasiti penghuni, tiada hiburan (live band), tanda arah kiblat, penyediaan mushaf Al-Quran dan pekerja berpakaian tutup aurat,” katanya.

Persidangan DUN bersambung pada Khamis untuk memberi laluan kepada cuti umum Hari Pekerja hari ini.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.