Kes SRC akan 'telanjangkan' lebih ramai orang, kata Shafee
Perbicaraan Najib Razak dalam kes SRC International akan 'menelanjangkan' lebih ramai orang yang akan membuktikan bekas perdana menteri itu adalah mangsa manipulasi, kata peguam bela utamanya.
"Kes ini sangat menarik, ia akan 'menelanjangkan' ramai orang.
"Dan ini akan hampir menyerupai sebuah filem, kerana orang yang kamu paling curigai, saya fikir akhirnya, menjadi mangsa," kata Muhammad Shafee Abdullah.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas hari kesembilan perbicaraan petang ini.
Shafee berkata demikian selepas mendakwa terdapat bukti bahawa Najib tidak mengeluarkan arahan perbankan seperti yang didakwa dan tidak menyedari mengenainya kerana 'manipulasi'.
Ini termasuk e-mel yang dikatakan percubaan untuk menghalang penyata bank Najib dihantar ke pejabat dan kediamannya.
"Itu muncul dalam e-mel. Kerana antara (pengurus hubungan AmBank pada masa itu) Joanna Yu dan seseorang yang lain, terdapat e-mel yang mengatakan, 'Jangan tunjukkan ini kepada Pejabat Perdana Menteri'.
"Dan (ketika) Joanna kata 'Bolehkah kita hantar ke 11 Langgak Duta (alamat kediaman Najib)', seseorang berkata, 'Tidak tidak tidak, sangat sensitif, jangan hantar'," katanya.
Tandatangan tidak sepadan
Shafee juga diminta memberi komen mengenai perbicaraan hari ini, yang menyaksikan pengurus cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi meneruskan keterangannya sebagai saksi ke-21 pendakwaan.
Pengurus itu menyimpulkan keterangannya sebagai saksi apabila mengesahkan dokumen, termasuk transaksi yang melibatkan akaun bank milik Najib, SRC International dan beberapa syarikat lain.
Beliau kemudian diperiksa balas oleh peguam bela Najib, Harvinderjit Singh.
Shafee mendakwa pertikaian terhadap tandatangan yang tidak sepadan dalam beberapa dokumen itu akan menyokong hujah pembelaan - bahawa Najib tidak membuat arahan itu.
"Apabila anda membandingkan hard copy dan soft copy (beberapa arahan perbankan di mahkamah)... kerana bagi kamu menyalin hard copy ke bank, kamu perlu menyalinnya secara fizikal atau mendapatkan orang yang sebenar untuk menandatanganinya.
"Tetapi bila kamu fax, kamu hanya perlu cut and paste (potong dan tampal).
"Kamu cut and paste tandatangan, dalam hal ini, Suboh (pengarah SRC Suboh Md Yassin) contohnya, jadi apabila ia dihantar kepada kamu melalui faks atau e-mel, ia kelihatan seperti Suboh tandatangan (dokumen itu), padahal sebenarnya kita yakin dia tidak menandatanganinya.
"Banyak tanda tangan dipalsukan tanpa pengetahuan Najib," katanya.
Shafee mendakwa kaedah 'cut and paste' itu adalah sebab mengapa tandatangan Suboh "betul-betul sama" pada dokumen tertentu.
Peguam itu juga mendakwa terdapat komunikasi e-mel yang menunjukkan pengurus hubungan Ambank itu mengesahkan transaksi perbankan dengan pihak ketiga, bukannya Najib dan individu yang diamanahkan untuk menguruskan akaunnya, Nik Faisal Ariff Kamil.
Menurut Shafee, ini termasuk dakwaan perbualan antara Joanna Yu dan ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Semasa perbicaraan awal hari ini, Harvinderjit menimbulkan isu tandatangan yang tidak sepadan dalam dokumen untuk pemindahan wang ke akaun yang dikaitkan dengan kes Najib.
Semasa pemeriksaan balas terhadap Uma Devi, peguam itu menunjukkan dokumen eksibit yang memberikan kuasa pemindahan RM5 juta dari SRC International ke akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd.
Beliau mendakwa tanda tangan pada dokumen yang dikatakan memberi kuasa terhadap pemidahan itu adalah tidak sepadan.
Harvinderjit menyamakan tanda tangan yang tidak sepadan itu seperti "kapur dan keju".
Rabu lalu semasa pemeriksaan utama, Uma Devi memberi keterangan bahawa Najib telah mengarahkan Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk menguruskan akaun Ambanknya.
Faisal antara lain mempunyai kuasa untuk meminta penyata bank dan mengesahkan cek sehingga RM250,000 bagi pihak bekas perdana menteri itu.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Iklan Berbayar :
☀ Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮
Post a Comment