Header

Jangan cakap kosong, bentang cadangan perkasa SPRM dulu, kata pembangkang


Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata beliau dan ahli Parlimen lain akan menyokong sebarang usaha meminda Perlembagaan untuk memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, susulan cabaran veteran DAP, Lim Kit Siang untuk pembangkang berbuat demikian.

Beliau berkata, Lim tidak patut mengeluarkan cabaran itu tanpa memberi apa-apa butiran mengenai pindaan yang ingin dibawa kerajaan ke Parlimen untuk menambah baik SPRM.

Ismail berkata, pembangkang tidak bermasalah memainkan peranannya dalam menyokong sebarang pindaan Perlembangaan mengenai SPRM yang memerlukan majoriti 2/3 di Parlimen.

“Pihak pembangkang sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan rasuah,” beliau beritahu FMT sambil mempersoalkan sama ada kerajaan serius dalam isu itu, selain memastikan SPRM bebas pengaruh politik.

“Lim tidak perlu mencabar pembangkang. Beliau perlu mencabar diri dan kerajaan untuk segera membentangkan pindaan undang-undang bagi memperkasakan SPRM.”

Ismail mendakwa Putrajaya gagal menghapuskan campur tangan kerajaan dalam SPRM. Beliau merujuk pelantikan Latheefa menerajui agensi anti-rasuah itu sebagai contoh “janji palsu” terbaru kerajaan.

Katanya, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam sepatutnya diminta meneliti dan mencadangkan calon bagi jawatan tertinggi SPRM.

Ismail berkata, berasaskan rekod janji PH yang tidak ditunaikan setakat ini, beliau sangsi dengan kesediaan kerajaan membentangkan sebarang pindaan mengenai SPRM dalam tempoh terdekat.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin turut mempersoalkan komitmen PH menunaikan janji berdasarkan kekerapannya membuat pusingan U terhadap dasarnya sebelum ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, PH sepatutnya mengemukakan rang undang-undang pindaan itu sebelum mencabar pembangkang menyokongnya.

Pelantikan Latheefa untuk mengetuai SPRM oleh perdana menteri minggu lalu mencetuskan polemik dalam kalangan pemimpin PH dengan ada yang mendakwa ia sepatutnya diluluskan PSC.

PH sebelum ini berjanji pelantikan beberapa jawatan utama, termasuk ketua pesuruhjaya SPRM akan tertakluk kepada kelulusan Parlimen.

Bagaimanapun, Lim berkata, pindaan Perlembagaan sukar diluluskan dan mencabar pembangkang memberi sokongan diperlukan di Parlimen untuk melaksanakannya.

Beliau merujuk kegagalan memperolehi majoriti 2/3 untuk meluluskan pindaan Perlembagaan bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak, April lalu.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Lim silap menggunakan kegagalan itu sebagai contoh kerana RUU itu tidak mencerminkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jika kerajaan mahu membuat apa-apa pindaan kepada undang-undang, termasuk Perlembagaan, kami sudah tentu akan menyokongnya jika ia membawa kebaikan kepada negara.

“SPRM harus diberikan hak untuk mendakwa, bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada Jabatan Peguam Negara.

“Tetapi, biar kita lihat cadangan pindaan itu dahulu. Tunjukkan draf pindaan, barulah kami boleh berbincang. Ini amalan negara maju,” kata Wan Junaidi.

FMT


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.