Header

Gubal undang-undang, padam segera api perkauman, kata Zuraida


PETALING JAYA: Menteri pusat dan naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin hari ini menggesa kerajaan menggubal undang-undang lebih tegas ke atas “pesalah perkauman dan penyebar kebencian”, dengan berkata, seolah-olah wujud “usaha terancang yang ketara” untuk menyalakan api perkauman.

Zuraida juga menggesa dihentikan sikap hipokrit “yang menyebut perpaduan di mulut, tetapi daki perkauman menebal di dada”.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, “marilah kita maju dan menbangun tanpa rasa curiga. Kita semua anak Malaysia.”

Kenyataan Zuraida tampil pada saat pemimpin politik saling berperang mulut berhubung kempen mengutamakan produk orang Islam, selain pertikaian politik membabitkan penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.

Zuraida yang merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan tidak merujuk isu spesifik dalam kenyataannya, tetapi berkata, kementerian beliau bekerja keras untuk memajukan semangat integrasi dalam kalangan rakyat melalui pembangunan komuniti dan aktiviti kemasyarakatan.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mencadangkan supaya satu peruntukan berkaitan ucapan kebencian dimasukkan ke dalam Akta Hasutan.

Pada 2014, Majlis Perundingan Perpaduan Nasional pernah mencadangkan supaya digubal undang-undang berkaitan ucapan kebencian, tetapi senyap selepas itu.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.