Header

Modi sebut nama Zakir Naik, tapi Dr M tak respons kata Saifuddin


Perdana Menteri India Narendra Modi membangkitkan isu Zakir Naik dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari negara ini Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan mereka semalam, kata Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun, kata menteri luar, ia hanya disebut secara sekali lalu dan Mahathir pula tidak memberi respons kerana sibuk membincangkan isu lain.

"Zakir Naik telah disebut oleh Perdana Menteri Modi secara sekali lalu, dan dia (Modi) sebut perkara itu sedang dibincangkan oleh pegawai kedua-dua negara.
Iklan

“Itulah cara beliau (Modi) sebut perkata itu.

“Kemudian, Tun Dr Mahathir pun tidak respons kerana banyak masa digunakan untuk bincang mengenai kes Kashmir,” Saifuddin dipetik sebagai berkata oleh Bernama.



Saifuddin juga menjelaskan tiada sebarang perbincangan di peringkat kementeriannya dengan Kementerian Luar Negeri India sekarang.

Hanya nota diplomatik yang dihantar oleh India memohon untuk mengektradisi Dr Zakir, warganegara India yang mempunyai status pemastautin tetap (PR) di Malaysia, katanya lagi.

Secara keseluruhan, Saifuddin berkata, isu Zakir tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan India.

Sementara itu, Hindustan Times semalam melaporkan Modi meminta Mahathir mengekstradisi Zakir yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.

"Kedua-dua pihak membuat keputusan bahawa pegawai kami akan terus berhubung mengenai perkara itu dan ia adalah isu penting bagi kami, " kata Setiausaha Luar India, Vijay Gokhale.

Zakir mendakwa tuduhan ke atasnya adalah rekaan semata-mata.

Saifuddin berkata kedua-dua pemimpin berbincang mengenai hubungan dua gala secara umum, dalam pertemuan yang dibuat atas permintaan Modi, di luar acara Sidang Kemuncak Ekonomi Timur di Vladivostok, Rusia.

Katanya, Modi mengambil masa yang panjang untuk menjelaskan kedudukan di Jammu dan Kashmir manakala Mahathir menjelaskan pendirian Malaysia bahawa semua pihak harus mematuhi resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Laporan media menyatakan ketegangan antara Pakistan dan India memuncak bulan lepas, susulan langkah India membatalkan status istimewa Jammu dan Kashmir yang membolehkan penduduknya menggubal undang-undang sendiri dan menghalang orang luar menetap di wilayah itu.

Jammu dan Kashmir di rantau Himalaya yang majoriti penduduknya Islam, terbahagi dua masing-masing dikuasai India dan Pakistan. Kedua-dua pihak menuntut untuk menguasai sepenuhnya dua wilayah berkenaan.

Sejak 1947, kedua-dua negara telah tiga kali berperang - pada 1948, 1965 dan 1971 - dua daripadanya untuk menguasai Kashmir.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.