Header

‘Guan Eng takut kerjasama politik PAS, UMNO?’


“Kenapa Lim Guan Eng dan DAP kelihatan begitu cemas, takut dan panik dengan kerjasama politik antara PAS dan UMNO?,” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Sedangkan, tidak ada satu pun kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan PAS yang mengecam golongan bukan Islam dan bukan Melayu, apatah lagi melancarkan permusuhan terhadap mereka, kata Nasrudin.

Sebaliknya, Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, kerjasama politik PAS dan UMNO hanyalah satu tindakan untuk melindungi kedudukan Islam, menyatupadukan ummah dan membela kebajikan orang Islam di Malaysia.

Namun, kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat sangat berbahaya, sehingga boleh mencetuskan api permusuhan dan mengundang persekitaran yang tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Lim Guan Eng dan DAP cuba untuk menyalakan api permusuhan yang keterlaluan. Apakah mereka sangka kerjasama politik PAS dan UMNO bertujuan untuk menghapuskan hak dan kepentingan golongan bukan Melayu?

“Walhal, PAS mempunyai sayap parti Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada golongan bukan Melayu dan bukan Islam. Malah, PAS telah menampilkan lebih ramai calon bukan Islam yang mewakili PAS dalam PRU14 lalu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PAS menuntut Guan Eng memohon maaf secara terbuka dan membetulkan keadaan.

“Kenyataan politik yang sangat bahaya ini boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang ekstremis untuk melancarkan pelbagai tindakan propaganda supaya agenda penyatuan ummah gagal dan kebencian terhadap golongan bukan Melayu dan bukan Islam terus dimomokkan.

“Perjuangan PAS dan tindakan politiknya sehingga kini menepati lunas fiqh politik Islam dan juga tidak bercanggah dengan amalan demokrasi negara,” katanya.

Semalam, sebuah portal tempatan memetik kenyataan Setiausaha Agung DAP itu yang menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Bagaimanapun, setelah dikecam, Guan Eng selepas itu mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.