Header

Tak perlu parti baharu, cukup 4 parti Melayu sedia ada: Mahathir


PUTRAJAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan supaya orang Melayu tidak terus menubuhkan parti politik hanya untuk memegang jawatan semata-mata.

Menurutnya, orang Melayu harus sedar dan belajar bahawa politik adalah masalah yang serius.

“Sudah ada empat parti Melayu cukuplah. Tak payah buat sampai 20 hingga 30 parti lagi sebab nak jadi presiden parti. Buat parti sendiri ada dua orang, sorang jadi presiden sorang lagi naib presiden.

“Itu tak ada makna langsung. Orang Melayu harus belajar bahawa politik adalah masalah serius bukan nak memuaskan hati mana-mana pihak tapi untuk berjuang,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir membuat kenyataan mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Perdana Menteri berkata, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam.

Pada masa sama, Dr Mahathir menjelaskan, penubuhan lebih banyak parti tidak akan menyelesaikan masalah yang timbul.

“Bila nak jadi presiden, seronok nak buka parti dan semakin lama semakin banyak parti. Jadi lama-lama orang Melayu tidak ada kuasa langsung kerana cuma yang ada parti-parti kecil sahaja.

“Itu yang saya kata, mereka boleh masuk parti mana pun yang sudah ada cukuplah ada empat buat parti cukup. Ini bukan sentimen rasis tapi kita kena menyelamatkan semua orang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi respons terhadap kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menolak untuk menyertai Bersatu.

“Presiden (Zahid) tolaklah, ahli masuk. Presiden nak masuk pun kita tak bagi,” selorohnya.

Sementara itu, Dr Mahathir ketika diminta mengulas mengenai respons parti-parti komponen PH berhubung kenyataannya yang mempelawa parti politik Melayu sertai Bersatu, beliau bagaimanapun berkata tiada masalah yang timbul.

“Rakan-rakan saya tidak dapati saya bersalah dan tidak sebat saya tadi,” katanya.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.